Pelakon Rita Rudaini berjaya dalam permohonannya membantah perintah kembali taat yang difailkan suami, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.
Hakim Syarie Saharuddin Selamat membuat keputusan itu, selepas membatalkan permohonan perintah kembali taat oleh Aidil terhadap Rita dengan kos ditanggung oleh Aidil.
Keputusan dibuat selepas mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu atas alasan Aidil tidak menyatakan alamat pemastautin yang tepat di dalam permohonannya.
Pada prosiding itu, Rita diwakili oleh peguam syarie, Mohd Ihsan Mohd Daud manakala Aidil tidak hadir buat kali ketiga tanpa alasan dan wakil.
Aidil telah memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna menetap di rumah yang disediakan Aidil yang terletak di USJ1, Subang Jaya.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan