Sebuah telefilem yang bakal disiarkan menerusi slot Cerekarama TV3 malam ini memberi kelainan kepada penampilan lakonan Rita Rudaini yang membawa watak tukang urut dan pelacur sambilan, malah menjadi wanita garang kerana sering memaki hamun dua anak kawannya sendiri.
Selain Rita dan Fiza Elite, Anak Lorong dibintangi Syafie Naswip, Taiyudin Bakar, Balqis, Idris Mat Diah, Boy Iman, Fadilah Mansor dan Zuraini Kassim.
Meruntum emosi
Penerbitnya, Hazmimi Johar, berkata Anak Lorong menerusi skrip asalnya oleh Rizal Alafiz Sarugi diolah semula untuk menjadikan ia sebuah kisah yang meruntun emosi, sesuai dengan tema konflik kekeluargaan yang berkisar antara ibu dan anak yang hidup di perumahan pangsa kos rendah.
“Ini adalah telefilem pertama kami untuk TV3. Ia mengisi slot Cerekarama pada 10 November ini. Penggambaran drama ini dilakukan sebelum Aidiladha lalu di sekitar ibu negara dan Sungai Buloh.
“Mesej drama ini ialah persoalan tanggungjawab dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. ia juga mengenai persahabatan, isu sosial insan yang hidup di bawah paras kemiskinan dan kesan anak terbiar, selain diselitkan sikit unsur 1Malaysia,” kata Hazmimi yang juga Presiden Pertubuhan kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAPP).
Kalangan ibu
Anak Lorong mengisahkan Rayyan, remaja berusia 17 tahun dan adiknya, Fara yang berusia enam tahun ‘kehilangan’ ibu mereka, Melur. Sepanjang ketiadaan Melur, Rayyan dan Fara dijaga Khaty, teman baik Melur yang pernah menjadi rakan sekerja Melur. Dua beradik itu tidak mengetahui kehilangan ibu mereka disebabkan dipenjarakan kerana terbabit dalam kegiatan tukang urut dan pelacur sambilan.
Walaupun Khaty menuurut naikan janji untuk menjaga Rayyan dan Fara, hakikatnya Khaty berasa dibebankan dengan kehadiran dua beradik itu, lalu bersikap kasar dan garang terhadap mereka. Sikap Khaty yang berlarutan menghina, memaki hamun dan mengungkit itu, membuatkan Rayyan mengambil keputusan berhenti sekolah dan mencari kerja supaya dapat menyara diri dan adiknya.
Rayyan bekerja mengambil upah dengan Pak Hussin, seorang peniaga buah. Kerajinan Rayyan membuatkan Pak Husin menyukainya. Rayyan mengenali pemuda bernama Muz, anak Pak Husin. Muz banyak meracuni fikiran Rayyan supaya bersamanya melakukan aktiviti tidak bermoral. Dari sekadar memerhati aktiviti Muz dan rakannya, Rayyan menjadi orang suruhan Muz. Setiap kali memperoleh hasil lumayan dengan perbuatan jenayah, Rayyan sering membawa pulang hadiah kepada Fara dan Watie. Watie ialah anak tunggal Khaty.
Banyak berubah
Kejahatan Muz dan Rayyan semakin menjadi-jadi. Suatu ketika, Rayyan tersedar kesilapannya dan mahu berubah untuk kembali ke pangkal jalan. Dengan bantuan Pak Husin, Rayyan banyak berubah. Suatu malam, Rayyan dan Kathy bergaduh besar.
Kemunculan Siok , wanita Cina mualaf atau nama Islamnya, Aisya serta anaknya, Ah Mei, dapat menghalang perbuatan kejam Khaty yang memukul dan mencaci Rayyan dan Fara. Pada ketika itu juga, polis datang ke rumah Khaty dan dia ditahan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan