Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 3 November 2012

Rajagobal pilih simpan rahsia

04 November 2012 (02 November 2012)


KUALA LUMPUR - Misi membalas dendam bukan menjadi agenda utama pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan dengan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada hari esok.
Walaupun mempunyai keinginan mahu menang, Rajagobal menegaskan, dia sama sekali tidak akan menurunkan kesebelasan terbaik atas faktor mahu menyimpan rahsia kekuatan sebenar pasukan menjelang pentas Piala Suzuki AFF pada 25 November ini.

Sedar aksi Harimau Malaya pasti akan diintai lawan-lawan dari Kumpulan B terutama dua seteru utama, Singapura dan Indonesia, beliau akan cuba bermain psikologi dengan menurunkan beberapa pemain yang berbeza.

''Saya belum bersedia menurunkan skuad terbaik kerana kita perlu sedar semasa perlawanan dengan Vietnam nanti, lawan-lawan kita seperti Laos, Indonesia dan Singapura akan menghantar pengintip mengkaji permainan Malaysia.
''Jadi, kita tidak boleh menunjukkan kekuatan sebenar semasa perlawanan itu tetapi dalam masa sama saya tetap mahukan anak-anak buah meraih keputusan terbaik tambahan kita sudah kalah 2-0 di tempat sendiri kepada Vietnam," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Rajagobal, dia mahu melihat sejauh mana keserasian antara pemain ketika berdepan Vietnam esok selepas sekian lama mengadakan latihan bersama.

''Saya mahu tengok bagaimana pemain-pemain menerapkan taktikal yang diarahkan dan mahu tengok apa hasilnya nanti (keputusan perlawanan dengan Vietnam).

''Kalau boleh kita tidak mahu hanya gagah di tempat sendiri, di gelanggang lawan pun kita hendak kuat dan saya harap rekod kemenangan di tempat lawan tempoh hari (berdepan Hong Kong) dapat diteruskan," katanya.

Selepas bertemu Vietnam di Hanoi, skuad negara akan meneruskan perjalanan ke Chiangmai, Thailand pada 7 November ini sebelum menutup tirai aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November.
Empat pemain, Norazlan Razali, Yong Kuong Yong, Mohd. Rizal Fahmi Rosid dan Nik Mohd. Shahrul Azim tidak dibawa ke Hanoi dan Chiangmai dengan 24 pemain sahaja menjadi pilihan Rajagobal.

Menggunakan sekurang-kurangnya 10 pemain yang pernah beraksi di Piala Suzuki AFF 2010, Rajagobal dijangka berteka-teki untuk menurunkan gandingan emas, Safee Sali- Norshahrul Idlan Talaha dengan Zaquan Adha Abdul Razak serta Ahmad Fakri Saarani boleh menjadi pilihan alternatif bagi mengaburi pemerhatian pihak lawan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121102/su_03/Rajagobal-pilih-simpan-rahsia#ixzz2BEKf6WTc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...