Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 17 November 2012

Harimau Malaya cari ilham di Pulau Pangkor

17 November 2012


Sebahagian daripada pemain skuad Harimau Malaya menenangkan fikiran dengan melakukan aktiviti riadah ketika menjalani kem bina semangat tiga hari di Pulau Pangkor, bermula semalam. - UTUSAN/Roy Azis ABD. aziz

PULAU PANGKOR - Selepas mengharungi tiga perlawanan persahabatan yang sukar, skuad Harimau Malaya melepaskan lelah di Pulau Pangkor, lapan hari menjelang kejohanan Piala Suzuki AFF.

Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal mengambil peluang tiga hari di pulau peranginan itu untuk mencari ketenangan, di samping memupuk perpaduan. Malah, kem bina semangat yang bermula dari hari ini hingga esok itu diharap mampu membantu pemain lebih fokus.

Persiapan Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki sedikit terencat apabila mencatat tiga keputusan mengecewakan pada aksi persahabatan.

Mereka kalah 1-0 kepada Vietnam pada 3 November, tumpas 2-0 kepada Thailand (7 November) dan seri 1-1 dengan Hong Kong pada 14 November lalu. Malaysia akan bertemu Bangladesh dalam persiapan terakhir, Selasa ini sebelum membuka kempen Piala Suzuki dengan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 25 November depan.

"Tujuan kita datang ke sini adalah untuk membawa pemain keluar daripada suasana yang memberi tekanan kepada 
mereka agar selepas mereka pulang dan kembali menjalani latihan, mereka lebih bersemangat dan fokus untuk perlawanan seterusnya.

"Walau hanya tiga hari berada di sini, saya fikir ia adalah baik untuk pasukan kerana kita beri mereka suasana lain daripada hari-hari biasa yang mereka lalui.

"Malah melalui aktiviti yang diadakan di sini, kita harap ia akan membantu meningkatkan semangat dan ketahanan mental pasukan," kata Rajagobal ketika ditemui di Pangkor Island Beach Resort di sini sini semalam.

Ditanya mengenai program skuad kebangsaan sepanjang berada di pusat peranginan tersebut, Rajagobal berkata, ia akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi membina semangat sepasukan.

"Pemain kita punya semangat yang tinggi. Sebagai profesional, mereka juga perlukan cuti yang boleh dimanfaatkan untuk menenangkan fikiran tanpa gangguan.

"Di samping memotivasikan mereka, kita turut mengadakan aktiviti untuk mendengar pendapat mereka yang kita fikir akan membawa satu semangat yang lebih baik kepada pasukan," katanya lagi.

Mengulas mengenai tekanan yang dihadapi menjelang Piala Suzuki AFF, Rajagobal berkata, keyakinannya terhadap kemampuan pemain masih sama dan pemain juga sedar apa yang perlu mereka capai pada kejohanan tahun ini.

"Kita kena positif, skuad Harimau Malaya terdiri daripada anak Malaysia, kenapa kita terlalu kritik dan memberi komen negatif?."

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim berkata, percutian ini memberi peluang kepada pemain menenangkan fikiran dan mengeratkan kerjasama.

"Kita harap percutian ini dapat memberi sesuatu yang baru kepada pasukan, malah ia merupakan cara untuk memotivasikan pemain dan memantapkan semangat berpasukan," katanya.

Bagi, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, walaupun antara mereka mempunyai hubungan akrab, namun dengan adanya percutian ini, ia akan lebih mengeratkan lagi hubungan daripada aspek komunikasi.

"Bagus sebenarnya bila berpeluang berada di sini kerana kami boleh tenangkan fikiran tanpa gangguan selepas penat mengharungi beberapa perlawanan," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121117/su_02/Harimau-Malaya-cari-ilham-di-Pulau-Pangkor#ixzz2CTFWhTDr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...