Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 23 Oktober 2012

Misi Malaysia pertahan juara

23 Oktober 2012



MAHALLI (dua dari kiri) turut tersenarai untuk menyertai latihan skuad Piala AFF Suzuki negara.


SELEPAS sekian lama ‘bereksperimen’, pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akhirnya mengumumkan senarai 35 pelatih bagi menggalas cabaran negara mempertahankan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya November depan.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 28 pelatih yang bakal menjalani latihan pusat di Wisma FAM bermula semalam.
Selain 28 pelatih itu, tujuh lagi pemain pelatih ‘KIV’ juga bakal dipanggil bila-bila masa bagi menggantikan mana-mana 28 pemain yang tercedera menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.
Dalam skuad Piala AFF Suzuki kali ini, paling mencuri tumpuan ialah kehadiran semula ‘kuda tua’ Selangor, Amri Yahyah yang berada dalam senarai calon ‘KIV’.
Turut disenarai ialah Mohd. Azmi Muslim dan Irwan Fadzli Idrus daripada skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Ahmad Shakir Md Ali (Negeri Sembilan) serta tiga tonggak Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd. Affize Faisal Mamat dan Mohd. Izham Tarmizi Roslan.
Begitupun, beberapa pemain Kelantan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha. S. Subramaniam dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang terlibat dalam final Piala Malaysia, Sabtu lalu hanya akan menyertai latihan bermula hari ini.
Turut menjalani latihan hari ini ialah pemain ATM seperti Amiridzwan Taj Tajudin, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Christie Jayaselan.
Seperti diduga, Rajagobal masih menaruh kepercayaan kepada majoriti muka lama sebelum ini seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong, Azamuddin Akil dan Baddrol Bakhtiar.
Kecemerlangan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sepanjang kempen Piala Malaysia juga berbaloi apabila turut dipanggil Rajagobal kali ini sebagai penjaga gol ketiga negara di belakang Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Khairul Fahmi.
Kehadiran Norazlan kali ini dilihat menutup peluang bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee beraksi dalam pentas Piala AFF Suzuki kali ini.
Turut mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini ialah beberapa tonggak Harimau Muda iaitu Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat.
Sebelum sepak mula Piala AFF Suzuki pada 23 November depan, Harimau Malaya terlebih dahulu bakal diuji dalam tiga aksi persahabatan antarabangsa apabila berdepan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 3 November depan.
Mereka kemudiannya berdepan cabaran Thailand di Chiang Mai (7 November) sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November depan.
Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Harimau Malaya diundi bersama Indonesia, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November, diikuti berdepan Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia, 1 Disember depan.
Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 Vietnam, Filipina dan Myanmar.
Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand manakala aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 24 November hingga 22 Disember.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir dengan format perlawanan, bermain di tempat sendiri dan lawan dari 8 hingga 13 Disember.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...