Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 20 September 2012

Untuk Tiga Hari

21 September 2012


Untuk Tiga Hari
Untuk Tiga Hari
Jika selama ini Afdlin Shauki lebih gemar mengarahkan filem bercorak komedi, namun buat kali pertamanya, Afdlin memecah tradisi dengan mengarahkan sebuah filem romantik, Untuk Tiga Hari.

Membariskan pelakon hebat seperti Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Ayu Raudhah, Dira Abu Zahar dan Afdlin sendiri, filem yang diadaptasi menerusi novel berjudul sama karya Ahadiat Akashah ini, mengetengahkan kisah cinta dan jodoh daripada Tuhan.

Ternyata, biarpun selama ini sering menghidangkan karya komedi, Afdlin boleh dikategorikan sebagai pengarah bijak dalam mengadunkan sebuah novel dalam tempoh tayangan 120 minit.

Pada pandangan penulis, menonton filem ini seperti mengikuti kursus perkahwinan jangka pendek kerana dalam penceritaan, Afdlin banyak meletakkan moral yang boleh diteladani bersama.

Sejak minit pertama, Afdlin membawa penonton melayari kisah percintaan yang tidak kesampaian antara Ujie (Vanidah) dan Afin (Rashidi) yang menjalinkan hubungan cinta, namun terpaksa akur untuk berkahwin dengan pilihan keluarga.

Biarpun sangat mencintai antara satu sama lain, sikap Afin yang begitu takut pada ibunya membuatkan dia bimbang untuk memperjuangkan cintanya bersama Ujie. Justeru mereka meletakkan diri mereka dalam satu konflik yang tak terjangka apabila berjanji untuk berkahwin dalam masa tiga hari dan bercerai.

Namun, tanpa mereka sedari, mereka saling terkait dengan pasangan masing-masing apabila Afin mendapat Juwita (Ayu), seorang isteri yang cantik, lemah-lembut dan penyayang, manakala Ujie mendapat Armi (Afdlin) yang begitu bijak mengambil hati.

Pelbagai konflik mula timbul apabila masing-masing mencegah untuk jatuh cinta. Namun, takdir Tuhan tiada siapa dapat menduga apabila Ujie memilih untuk kekal bersama Armi sedangkan Afin sudah pun menceraikan Juwita mengikut perjanjian yang mereka lakukan sebelum berkahwin.

Afdlin bijak mengadunkan keseluruhan cerita dalam novel ke dalam filem dengan menyelitkan banyak unsur humor yang dekat dengan masyarakat. Contohnya, dalam era kemodenan, Afdlin turut menyelitkan tradisi dan nilai kemelayuan.

Tidak sekadar meletakkan jalan cerita dan sinematografi yang cantik, runut bunyi di dalam filem ini juga turut menarik untuk didengar, antaranya lagu Dilema Hati, paduan suara Hazama dan Fina AF9.

Malah, sebuah lagu ciptaan Afdlin juga, tidak mustahil akan menjadi pilihan pasangan bercinta selepas ini kerana mampu mencengkam jiwa yang mendengar.

Tidak banyak yang penulis mahu katakan tentang pelakon yang terlibat kerana pilihan Afdlin ternyata bijak. Walaupun tidak meletakkan ramai pelakon popular, namun dengan adanya pelakon berbakat besar seperti Vanidah dan Rashidi serta Afdlin sendiri, filem ini sudah cukup hebat.

Filem berkisarkan tentang hubungan cinta Afin dan Ujie yang berada di dalam persimpangan dilema apabila mereka terpaksa melupakan cinta untuk berkahwin dengan calon pilihan keluarga.

Afin mengahwini Juwita dan Ujie berkahwin dengan Armi seorang lelaki kaya yang romantik.

Untuk membuktikan cinta sejati mereka, Afin dan Ujie berjanji untuk meneruskan juga perkahwinan aturan keluarga itu tetapi akan berusaha bercerai setelah tiga hari berkahwin.

Namun, setelah mereka mengharungi tiga hari di alam perkahwinan pelbagai perasaan telah muncul dan timbul kesedaran bahawa mereka seolah-olah bermain dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Adakah mereka akan meneruskan juga perjanjian untuk bersama? Adakah Armi akan melepaskan Ujie kepada Afin?

Untuk Tiga Hari

PENGARAH : Afdlin Shauki
PELAKON : Afdlin Shauki, Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Ayu Raudhah dan Dira Abu Zahar.
GENRE : Komedi/Romantik
DURASI : 1jam 57minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 20 September 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...