Pemain bola sepak, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 26, menafikan dia cuai dan gagal menyediakan nafkah untuk bekas isterinya, Rita Rudaini Mokhtar, 37, serta dua anak lelaki mereka.
 
Dalam keterangan bertulisnya, Aidil menjelaskan sepanjang tempoh anak-anaknya tinggal bersama Rita Rudaini selaku plaintif sejak Januari 2012, dia memasukkan wang melalui akaun Maybank pelakon itu.
 
“Pada awalnya saya ada mengirimkan cek berjumlah RM3,000 yang diposkan secara pos berdaftar di alamat tempat tinggal plaintif di Kota Damansara, Petaling Jaya namun ia tidak dituntut dan cek dikembalikan,” katanya.
 
Bagaimanapun selepas mendapat nombor akaun Maybank Rita Rudaini, Aidil Zafuan berkata dia memasukkan duit nafkah ke dalam akaun plaintif. Selain itu Aidil  Zafuan mendakwa  plaintif sering menafikan haknya sebagai bapa untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
 
Beliau selaku defendan berkata demikian pada perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya yang difailkan Rita Rudaini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.
 
Rita Rudaini menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anaknya,  merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.