Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 12 Ogos 2013

Kami hormati Barcelona

12 Ogos 2013



Mohd. Aidil Zafuan

KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak mana tidak gerun jika bertemu kelab terbaik dunia, Barcelona dan itu perasaan yang dikongsi oleh pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak yang menganggap pertembungan dengan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, pasti akan menjadi antara perlawanan yang sukar sepanjang kariernya.
Bukan sekadar pemain terbaik dunia, Lionel Messi, yang perlu dihadapi sebaliknya bintang baharu dari Brazil, Neymar, perancang kelas dunia, Xavi dan Andres Iniesta bakal menjanjikan satu dimensi baru buat Aidil yang menganggap perlawanan ini pasti akan menjadi pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
Sedar akan hakikat 'ukur baju di badan sendiri', Aidil mengakui kemenangan besar 8-0 Barcelona ke atas kelab Brazil, Santos pada 2 Ogos lalu tidak dinafikan memberikan sedikit kegerunan kepada psikologi pemain Harimau Malaya, namun dia sama sekali tidak mahu berasa rendah diri sebaik sahaja berada di atas padang nanti.
"Sebut sahaja Barcelona, bukan saja mana-mana pemain, namun saya sendiri terasa kerdil untuk berdepan dengan bintang-bintang mereka kerana kita tahu kualiti yang mereka ada dan kita masih jauh hendak dibandingkan dengan mereka.
"Memang tiada siapa akan meletakkan sebarang harapan untuk kita menang cuma sekurang-kurangnya kami boleh beri tentangan kepada mereka dan meraih seberapa banyak pengalaman berharga," katanya ketika dihubungi, semalam.
Ditambah pula terpaksa pulang pada Hari Raya pertama menjalani latihan di Wisma FAM, dia menganggap itu sebagai asam garam kepadanya sebagai pemain bola sepak profesional, malahan terpaksa berjaga-jaga dari segi pemakanan supaya kecergasannya tidak terjejas ketika diturunkan menentang Barcelona.
"Sebenarnya ini adalah perkara biasa buat saya dan ada kalanya saya tidak berkesempatan pulang untuk berhari raya kerana sibuk dengan tugasan selaku pemain bola sepak profesional.
"Cabarannya masa Hari Raya pertama nanti saya kena pastikan kena jaga pemakanan dan elakkan mengambil yang terlalu berlemak supaya dapat memastikan kecergasan tidak terjejas ketika tiba hari perlawanan sebenar, namun inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh kami semua pada hari raya ini demi bola sepak negara," katanya.
Barisan pertahanan negara berdepan krisis apabila dua lagi tonggak, Azizi Matt Rose dan Amiridzwan Taj Tajudin terpaksa diketepikan ekoran kecederaan dengan pilihan yang tinggal selain Aidil adalah Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta pertahanan bidan terjun, Junior Eldstal.
Sementara itu, Fadhli Shas, Hari Raya ini akan disambut dengan sederhana kerana fokusnya hanya memikirkan pertemuan dengan Barcelona sahaja dan mahu memberikan yang terbaik pada perlawanan itu nanti.
"Saya tidak boleh terlalu beria-ia menyambut Hari Raya seperti orang lain, pemakanan kena pantang di samping rehat pun kena secukupnya kerana perlawanan tinggal tiga hari sahaja lagi.
"Tidak sabar rasanya untuk berdepan dengan pemain-pemain hebat seperti Neymar atau Messi, dua pemain terbaik di dunia buat masa sekarang, rasa macam mimpi pun ada tetapi saya akan beri yang terdaya untuk mengawal pergerakan mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...