Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 16 Julai 2013

Mahu kembali aktif

16 Julai 2013

KETIBAAN bulan Ramadan yang mulia memberi seribu satu sebab kepada setiap Muslim untuk bergembira dan meraikannya. Dan setiap daripada kita pastinya mempunyai kenangan yang tersendiri apabila bercakap tentang bulan mulia.

Begitu juga buat pelakon Raudhah Che Wan atau lebih dikenali sebagai Ayu Raudhah kerana pada bulan Ramadan tahun lalu, dia memulakan hijrahnya ke arah yang lebih positif, iaitu mula bertudung.
Jelasnya, dia bersyukur kerana dibukakan hati untuk berubah ke arah kebaikan dalam usia yang masih muda dan dengan kerelaan hati.

"Bulan puasa tahun ini genap setahun saya memakai tudung. Pastinya selain menyambut kedatangan bulan mulia dalam kalendar Islam ini, saya juga 'meraikan' genapnya setahun bertudung.

"Sewaktu awal-awal memakai tudung, tidak dinafikan agak sukar juga buat diri saya untuk berfesyen.Tetapi lama-kelamaan saya dapati sebenarnya fesyen untuk orang bertudung tidak kurang hebatnya," jelas isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak itu.

Dalam tempoh tersebut juga wanita berusia 28 tahun itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 29 Mac lalu, seberat 2.79 kilogram yang diberi nama Muhammad Aisy Qaiser.

Jelas Ayu, dalam tempoh setahun lalu dia kurang terbabit dalam lakonan walaupun sering menerima tawaran kerana mahu fokus kepada urusan keluarga.

"Apabila kita berhenti daripada melakukan sesuatu perkara yang diminati, pastinya kita akan berasa rindu mahu kembali melakukan perkara yang sama.

"Sewaktu menonton drama-drama lakonan di kaca televisyen, waktu itulah perasaan rindu itu semakin menebal dalam diri dan terasa tidak sabar untuk kembali berlakon," jelasnya yang menyambut ketibaan Ramadan di rumah mentua di Seremban, Negeri Sembilan.

Namun begitu menurut Ayu, walaupun perasaan rindu untuk berlakon itu menebal, dia tetap tidak dapat menggantikan perasaan dan pengalaman yang dilaluinya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ayu yang turut berlakon dalam drama dan filem popular Nur Kasih akan tetap meneruskan kariernya dalam bidang lakonan kerana bidang tersebut merupakan cinta pertamanya dan sukar untuk dilepaskan begitu sahaja.

"Walaupun sudah bergelar ibu, saya tidak merasa akan meninggalkan dunia lakonan yang telah lama saya ceburi ini.

"Bertudung juga tidak memberikan sebarang halangan buat diri saya kerana sebelum ini saya juga banyak terlibat dengan watak-watak yang memerlukan saya bertudung.

"Saya yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan dalam bidang ini selain akan lebih memilih untuk membawakan watak-watak yang bersesuaian dengan diri buat masa ini," tambahnya yang juga merupakan adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Ayu juga mengatakan dia melihat trend semasa di mana semakin ramai artis wanita sama ada penyanyi mahupun pelakon mula mengenakan hijab sebagai suatu yang positif dan berharap ramai lagi akan berbuat perkara yang sama.

Sesuatu istimewa

Ramadan kali ini juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri bukan saja bagi Ayu, tetapi juga buat Zaquan Adha.

"Istimewanya Ramadan kali ini adalah suami saya bakal menyambut sambutan hari jadinya yang ke-26 pada 3 Ogos nanti dan pastinya, saya mahu merancang sesuatu yang istimewa pada hari itu.

"Apakah keistimewaan itu? Saya masih belum tentukan buat masa ini. Tetapi boleh jadi saya akan menyediakan juadah kegemarannya iaitu memasak ayam.

"Makanan kesukaannya sudah pasti adalah ayam. Tidak kira ayam masak merah, ayam masak kicap ataupun ayam masak lemak. Dia memang suka ayam. Saya pula lebih suka makan ketam," katanya yang berasal dari Alor Star, Kedah.

Seperti kelaziman, bulan Ramadan disambut secara sederhana sahaja. Tetapi yang pasti dia akan lebih aktif memasak sendiri di rumah berbanding membeli juadah.

"Lauk pauk biasa akan dimasak sendiri. Melainkan kalau tiba-tiba mengidam sesuatu seperti murtabak atau ayam percik, barulah saya akan ke bazar Ramadan," katanya yang baru menamatkan rakaman telemovie raya untuk stesen TV AlHijrah berjudul Tiba Masanya sehari sebelum mula berpuasa

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...