Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Rabu, 13 Februari 2013

Safee, Norshahrul pulih

13 Februari 2013


Norshahrul Idlan Talaha

JOHOR BAHRU - Dua penyerang Johor Darul Takzim, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilanda kecederaan kini pulih dan bakal beraksi pada perlawanan menentang T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 16 Februari ini.

Safee dan Norshahrul yang turut dikenali sebagai Mat Yo sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan, sekali gus menyebabkan kedua-dua penyerang sensasi itu tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal.

Penyerang skuad Johor Darul Takzim itu sepatutnya menyertai pasukan kebangsaan pada aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim bin Ahmad baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 pada Qatar.

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kedua-dua penyerang Johor itu pulih dan tidak sabar untuk memulakan aksi sekali gus memberikan persembahan terbaik kepada pasukan.
Malah, kedua-duanya telah menyertai latihan bersama-sama rakan lain dan Mat Yo juga sudah membuat penampilan pada aksi persahabatan menentang Young Lions di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lalu dengan kedua-dua pasukan berkesudahan seri 1-1.

"Alhamdulillah, Safee dan Mat Yo sudah beransur pulih dan dijangka dapat beraksi pada perlawanan Liga Super akan datang. Bagaimanapun, kita masih pantau tahap kecergasan mereka supaya kedua-duanya pulih dengan baik," katanya.

Pada masa sama, Fandi yang juga pengurus pasukan Johor Darul Takzim turut melahirkan rasa bimbang ekoran tonggak pertahanan pasukan itu, Aidil Zafuan Abdul Razak turut mengalami kecederaan di bahagian perut.

Namun, tahap kecederaan Aidil Zafuan itu hanya dapat dipastikan selepas pemain itu melakukan x-ray esok, manakala pasukan masih memantau kecergasan pemain import dari Itali, Simone Del Nero yang sudah pulang daripada berehat kerana kecederaan.

"Apa-apa pun, kita akan terus melihat pasukan ini, apa yang diperlukan, taktik bagaimana akan digunakan, siapa yang akan beraksi pada perlawanan menentang T-Team Sabtu ini, semuanya akan ditentukan tidak lama lagi," katanya.

Johor Darul Takzim memilih untuk menjalankan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan dari negara jiran, Singapura semasa tempoh rehat Liga Malaysia berbanding menjalani latihan ringan.

Dalam perlawanan persahabatan pertama, skuad Harimau Selatan itu menewaskan Hougang 3-0, membelasah H2O Dream Team (8-2), menang ke atas Geylang United (1-0) dan menewaskan Singapore Armed Forces (3-0) sebelum seri 1-1 dengan Young Lions.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130213/su_01/Safee-Norshahrul-pulih#ixzz2Kmfh7JsI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...