Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 17 Januari 2013

Tidak Disenaraikan Rajagobal, Safiq Enggan Ulas

17 Januari 2013

Safiq Rahim
PETALING JAYA: Pemain sensasi Johor Darul Takzim FC, Safiq Rahim pada Khamis enggan memberi sebarang komen berhubung isu penggugurannya daripada senarai 26 pemain yang terpilih mengikuti latihan skuad Harimau Malaya.
"Maaf, saya tidak boleh beri apa-apa komen mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.
Pada Rabu, ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal tidak menyenaraikan Safiq untuk latihan pusat menghadapi Qatar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015, 6 Februari ini.
Lebih mengejutkan, seorang lagi pemain pendatang baru Liga Super itu, Azmi Muslim turut menerima nasib sama seperti Safiq.
Selain itu, pemain-pemain yang menganggotai skuad Piala Suzuki AFF 2012 yang turut digugurkan ialah Ahmad Hazwan Bakri (Harimau Muda A) dan Ahmad Fakri Saarani yang kini beraksi bersama kelab Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC).
Bagi penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan, dia sedikit kecewa tetapi akur dengan keputusan Rajagobal.
"Boleh dikatakan saya kecewa sedikit tetapi saya menerima keputusan jurulatih dengan hati terbuka," katanya.
Pemain berusia 21 tahun yang mendapat jolokan sebagai pengganti lagenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari berharap dapat mengekalkan prestasi terbaiknya bersama Harimau Muda A ketika berangkat ke Australia pada 23 Januari hingga ke 6 Februari ini untuk aksi persahabatan antarabangsa.
"Saya ingin mempamerkan persembahan lebih baik berbanding tahun lalu bersama skuad Harimau Muda A di Australia kelak agar dapat menambat semula hati jurulatih skuad kebangsaan," katanya.
Sementara itu, Muhammad Zubir Azmi dan Baddrol Bakthiar sekadar diletakkan dalam senarai menunggu di samping Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Affize Faisal Mamat, Hairuddin Omar, Shahrizad Saad dan Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Ketujuh-tujuh pemain itu akan dipanggil sekiranya mana-mana pemain yang telah disenaraikan dalam skuad utama Harimau Malaya mengalami sebarang kecederaan.
Aksi memberangsangkan penyerang Pahang Mohd Fauzi Roslan pada aksi Liga Super awal musim ini berjaya menambat hati Rajagobal.
Pemain Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad yang melakukan penampilan terakhir untuk pasukan pada 2008 turut disenaraikan semula kali ini.
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) malam Rabu menyaksikan beberapa pemain terkemuka negara seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali masih menjadi pilihan utama di samping Farizal Marlias, Adil Zafuan Abdul Razak, S.Kunalan, Bunyamin Omar, Amar Rohidan dan Khairul Fami Che Mat.
Rajagobal turut menyenaraikan Ashari Samsudin (Terengganu), K.Reuben (ATM), Asraruddin Putra Omar (Selangor), K.Gurusamy (Selangor), Yong Kuong Yong (Perak) dan Nik Mohd Shahrul Mohd Azim (Kelantan) untuk memperkukuhkan barisan tengah.
Selain itu, kelibat pemain Harimau Muda A, Mohd Fadhli Shas, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor terus ditagih jurulatih berusia 56 tahun itu.
Semua pemain akan melapor diri pada 26 Januari ini di Wisma FAM sebelum berangkat ke 29 Januari bagi berdepan Iraq dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 31 Januari.
Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Doha, Qatar menentang Qatar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari depan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...