Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 20 Januari 2013

Sehangat Asmara, gandingan mantap Adi, Rita & Izreen

20 Januari 2013


Sehangat Asmara, gandingan mantap Adi, Rita & Izreen
Gandingan mantap Adi Putra dan Rita Rudaini
Sehangat Asmara, gandingan mantap Adi, Rita & Izreen
Barisan pelakon sehangat Asmara
Sehangat Asmara, gandingan mantap Adi, Rita & Izreen
Sehangat Asmara oleh Aisya Sofea
SETELAH tayangan drama bersiri Adam & Hawa berjaya menjadi fenomena tersendiri, Astro menerusi saluran Mustika HD bakal mengulangi kejayaan itu dengan mempertaruhkan sebuah lagi drama bersiri hebat, Sehangat Asmara.

Drama bersiri terbitan Global Station tersebut turut diadaptasi daripada novel cinta popular hasil nukilan penulis Aisya Sofea terbitan Alaf 21.

Bakal menemui penonton bermula 21 Januari ini, setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam, drama arahan Mohd Feroz Kader ini menampilkan gandingan mantap Rita Rudaini (Kamilia Najwa) dan Adi Putra (Zainal Arief). Turut dibantu beberapa pelakon hebat seperti Shahrizal Jaszle (Azman), Izreen Azminda (Mimie), Dian P Ramlee (Puan Sri Zaharah) dan ramai lagi.

Ditemui ketika majlis perasmian Sehangat Asmara di Publika, Solaris Dutamas, ternyata barisan pelakonnya pasti 'menghangatkan' lagi drama cinta terhalang ini.

Drama 33 episod ini mengisahkan pasangan Kamilia Najwa dan Zainal Arief yang menjalinkan hubungan cinta yang berakhir dengan perkahwinan di Sydney tanpa restu keluarga.

Kebahagiaan mereka terhenti kerana Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji akan kembali lagi. Sejak itu, sehinggalah mencecah sembilan tahun, Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia menanti dengan air mata.

Babak romantis Adi

Pelakon kacak, Adi Putra akui dirinya tidak menghadapi sebarang masalah untuk melakonkan babak remaja dalam drama tersebut.

Walaupun begitu, Adi percaya setiap watak dan babak dalam drama tersebut memiliki cabarannya yang tersendiri, namun kesukaran mendalami karakter Azinal Arief tidaklah begitu maksimum.

"Alhamdulillah, saya senang bawa watak ini dengan baik. Dengan pengalaman lakonan sebelum ini, saya mampu mendalami karakter Zainal dengan mudah.

"Saya juga tidak mengalami masalah untuk hidupkan watak Zainal ketika remaja dan saya yakin babak itu masih nampak segar.

"Bagi saya, usia seseorang pelakon tidak tertakluk kepada watak yang dipegang. Apa yang penting, kebolehan pelakon menguasai watak dengan baik," katanya.

Tambah Adi, dia selesa dan senang bekerjasama dengan Rita Rudaini walaupun mereka jarang digandingkan bersama.

Menurut Adi, setiap babak romantis yang perlu dilakukan bersama Rita mendapat keserasian memandangkan aktres itu lebih bersikap profesional.

“Sepanjang menjalani penggambaran bersamanya, saya tidak mengalami sebarang masalah dan kami senang untuk mendapatkan keserasian.

“Dia seorang pelakon yang profesional dan sikap terbukanya memudahkan kami untuk menghidupkan watak sebagai suami isteri dengan baik,” katanya mengenai gandingannya bersama Rita dalam drama yang sebahagiannya menjalani penggambaran di Sydney, Australia itu.

Rita tertekan

Berlainan dengan Adi Putra, aktres cantik, Rita Rudaini memberitahu pada awal menerima skrip dirinya agak tertekan untuk menghayati watak yang diberikan.

Kata Rita, jalan cerita yang diketengahkan dalam drama ini memberi impak yang begitu mendalam sehinggakan dia tertekan untuk menyesuaikan watak tersebut.

"Sebelum menerima tawaran lakonan dalam drama ini, saya juga merupakan salah seorang peminat novel Sehangat Asmara dan saya akui jalan ceritanya sedih.

"Lebih tertekan apabila watak yang saya bawa banyak babak menangis sehinggakan saya kekeringan air mata untuk menangis.

"Sebagai seorang pelakon, saya terpaksa lakukannya. Walaupun mengambil sedikit masa, akhirnya saya mampu mendalami watak dengan baik," ujarnya.

Selain tertekan dengan babak sedih, Rita turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan keserasian bersama Adi.

Sikap pendiam Adi membataskan dirinya untuk mengenali mengenali pelakon itu dengan lebih dekat walaupun pernah digandingkan bersama menerusi filem Balistik.

“Walaupun ini kali ketiga kami digandingkan bersama, namun saya akui masih belum mengenali Adi dengan baik dan sebab itu, saya segan untuk menegurnya takut-takut dipandang serong.

"Setelah beberapa hari menjalani penggambaran bersama, akhirnya Adi telah memberi respons yang baik dan sejak itu keserasian kami mula wujud," jelasnya.

Jadi jahat lagi: Izreen

Biarpun sekali lagi diberi kepercayaan memegang watak antagonis, pelakon Izreen Azminda masih gembira menerima tawaran lakonan tersebut.

Tambahan pula, penonton sudah mula mengenali dirinya dengan baik menerusi watak seumpama itu dan ia menunjukkan lakonannya berjaya sekali gus memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

"Dalam drama ini saya memegang watak sebagai Mimi yang merupakan teman rapat Kamilia dan atas beberapa sebab akhirnya dia menjadi musuh rakan baiknya itu.

"Saya tidak kisah melakonkan watak perempuan jahat malah saya seronok melakukannya, tapi pada masa yang sama ia perlulah mengikut kesesuaian.

"Walaupun saya kerap diberi watak seperti itu, saya akan cuba lakukan kelainan supaya penonton tidak bosan dengan lakonan saya," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman menjalani penggambaran Sehangat Asmara di Sydney, Izreen memberitahu, itulah kali pertama dia menjejakkan kaki di sana.

"Ketika menjalani penggambaran di sana, Sydney mengalami musim panas dan ia memudahkan kami menjalankan tugas dengan baik.

"Pemandangan dan persekitaran di sana juga cukup indah dan ia sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada saya untuk mendalami watak dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izreen bakal tampil dalam sebuah drama Tanggang Ayu yang bakal ditayangkan di saliran Astro Prima bermula 11 Februari ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...