Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 27 Januari 2013

Persiapan paling teruk

28 Januari 2013


Pemain negara membuat persiapan untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

PETALING JAYA - ‘Persiapan paling buruk’. Itu situasi yang dihadapi jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal yang sedang mempersiapkan skuad untuk Kelayakan Piala Asia 2015 apabila pemain terbaru yang dipanggil bagi mengisi posisi serangan, Shahrizal Saad juga mengalami kecederaan.

Ia merupakan berita terbaru yang menambahkan lagi malang skuad Harimau Malaya yang ketika ini bergelut dengan kecederaan pemain posisi termasuk Safee Sali, S. Kunalan Bunyamin Omar dan K.Gurusamy.

“Jika tidak silap saya ini adalah pertama kali sejak membimbing skuad kebangsaan saya berdepan persediaan yang paling buruk kerana begitu ramai pemain yang saya mahu panggil mengalami kecederaan.

“Ketika saya mengharapkan Shahrizal untuk menggantikan pemain pada posisi serangan yang cedera, Shahrizal pula memberitahu bahawa dia mengalami kecederaan.

“Ini menyebabkan saya terpaksa memanggil beberapa nama lagi seperti Abdul Hadi Yahya, Mohd. Azmi Muslim dan Helmi Rameli," katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di padang wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sini, semalam.

Calon untuk membentuk skuad mantap bagi menghadapi Qatar dalam Kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari ini semakin mengecil kerana pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Farizal Marlias dan Zubir Azmi juga masih belum pasti dapat bermain kerana belum pulih sepenuh daripada kecederaan.

Pemain tonggak lain yang turut mengalami kecederaan termasuk Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat dan Fitri Omar.

Ekoran krisis kecederaan pemain penyerang yang melanda Harimau Malaya, Rajagobal sukar untuk meramalkan apa peluang Malaysia ketika berdepan Qatar nanti.

“Tiada jaminan untuk kita menang atau seri, tiada mana-mana pasukan yang boleh beri jaminan sama ada mereka mampu menang.

“Apa yang penting kami akan datang ke sana untuk memberikan persembahan terbaik dengan pasukan yang ada ini," kata Rajagobal.

Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat terakhir di Wisma FAM hari ini sebelum berangkat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Iraq, 1 Februari sebagai ujian pemanas badan menentang Qatar, lima hari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130128/su_01/Persiapan-paling-teruk#ixzz2JFX5gOdK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...