Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 4 Disember 2012

SATHIA: “Pemergian 3 tonggak tidak jejas persiapan ATM”

05 Disember 2012 (20 November 2012)


Juara Liga Perdana harapkan kelibat Shukor dan Jeeva mampu julang pasukan dalam kempen Liga Super
PEMERGIAN tiga tonggak ke Johor tidak menjejaskan persiapan Angkatan Tentera Malaysia dengan pengendali, B Sathianathan yakin dengan kemampuan barisan yang sedia ada untuk mencabar barisan elit Liga Super musim depan.
Diperkuatkan dengan ketibaan tonggak berpengalaman, Shukor Adan;  penjaga gol, G Jeevananthan dan pemain muda dari skuad Piala Presiden, Sathia kekal optimis pendatang baru Liga Super itu mampu meneruskan rentak cemerlang yang ditampilkan musim lalu.
ATM akan turun dengan reputasi sebagai juara Liga Perdana dan finalis Piala Malaysia tetapi sedikit gusar dengan perkhabaran penghijrahan pemain pertahanan terbaik negara, Aidil Zafuan Abd Radzak, adiknya, Zaquan Adha dan Azmi Muslim ke Johor.
Namun, kebimbangan itu pantas diredakan dengan kehadiran Shukor, 33 dari Negeri Sembilan untuk mengisi kekosongan bahagian pertahanan tengah yang ditinggalkan Aidil.
Pada awal kemunculannya, bekas ketua pasukan Selangor itu yang menjulang Merah Kuning ke gelaran treble pada 2005 itu bertindak sebagai pemain tengah defensif tetapi mula beralih ke bahagian bawah pada penghujung kerjayanya di Negeri Sembilan.
Di Negeri Sembilan, Shukor membawa barisan Hoben Jang Hoben itu menjuarai Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 di samping gelaran Piala FA pada 2010. Kini kehadiran Shukor diharapkan dapat memantapkan bahagian pertahanan ATM yang rata-rata dibarisi pemain muda.
G Jeevananthan pula hadir dengan pengalaman meluas beraksi dalam Liga Super bersama Johor FC, Sabah dan Selangor.  Penampilannya bersama Johor FC adalah yang paling cemerlang dalam kerjayanya setakat ini dengan penjaga gawang kelahiran Kluang itu membantu mereka meraih tempat ketiga dalam Liga Super pada 2008 dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat julung kalinya pada tahun tersebut.
Jeeva, 32 kemudian beraksi bersama USM dalam Liga Perdana pada 2011 sebelum kelibatnya memikat Selangor untuk menandatanganinya musim lalu.
Kini, Jeeva diharapkan dapat memberikan saingan terhadap Mohd Farizal Harun dalam merebut kedudukan sebagai penjaga gol utama ATM bagi musim akan datang.
Selain Shukor dan Jeeva, Sathia turut mengambil langkah berani dengan mengekalkan bintang sensasi Piala Presiden, Ammar Aziz dalam skuad utama selepas dinaikkan pada kempen Piala Malaysia musim lalu dan membawa masuk pemain muda lain seperti V Thinagaran.
“Selain ketiga-tiga pemain itu, kesemua pemain lain sudah menyatakan persetujuan untuk kembali beraksi bagi ATM pada musim akan datang.
“Sememangnya, saya berhasrat untuk mendapatkan pemain lain yang berpengalaman, tetapi apakan daya, kesemua pemain yang saya inginkan sudah ke Johor.
“Ini adalah perkembangan baik buat bola sepak Malaysia dengan ia akan merancakkan lagi saingan pada musim akan datang.
“Namun, saya tetap yakin dengan kemampuan pemain saya yang sedia ada untuk memberikan saingan pada kempen Liga Super musim depan,” kata bekas pengendali kebangsaan itu yang sudah mengerahkan kudrat anak buahnya di padang latihan TUDM mulai Jumaat lalu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...