Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 18 Disember 2012

Raja ‘saintis’ kekal

19 Disember 2012 (18 Disember 2012)


RAJAGOBAL...tumpu persiapan kelayakan Piala Asia 2015.
RAJAGOBAL...tumpu persiapan kelayakan Piala Asia 2015.
KEGAGALAN mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 belum cukup untuk menggugat kedudukan Datuk K Rajagobal selaku ketua jurulatih kebangsaan apabila beliau terus diberi mandat membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.
Perkara ini diputuskan pada satu mesyuarat yang dipengerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bersama Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad dan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Satu mesyuarat sudah dijalankan pagi tadi (semalam) dan hasil daripada mesyuarat itu, Rajagobal dikekalkan hingga kontraknya tamat Disember 2013. Ini satu berita gembira untuk pasukan kebangsaan,” menurut sumber dalaman FAM.
Keputusan yang dicapai itu sekali gus melenyapkan spekulasi mengenai pemecatan Rajagobal, 56, selepas kredibilitinya dipertikai ramai pihak berikutan kegagalan skuad kebangsaan mara ke final Piala AFF apabila tumpas dengan agregat 1-3 di tangan Thailand pada separuh akhir minggu lalu.

Kegagalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati peminat tempatan memandangkan prestasi Harimau Malaya tampak merosot dalam tempoh dua tahun selepas bergelar juara Asia Tenggara apabila tersingkir di pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan juga ranking yang jatuh merundum.

Ada pihak menyarankan agar tugas membimbing Harimau Malaya diserahkan kepada jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee namun dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat yang dirahsiakan pihak FAM itu semalam, ia sekali gus menjawab segala persoalan berhubung kedudukan Rajagobal.
Difahamkan keputusan FAM itu didorong faktor kejayaan lampau Rajagobal yang membantu Malaysia menamatkan penantian 20 tahun negara dengan memenangi pingat emas Sukan Sea Laos dan kejuaraan pertama Piala AFF 2010 di Jakarta.

Malah bagi badan induk bola sepak tanah air itu, kekalahan kepada pasukan hebat seperti Thailand bukanlah satu kegagalan, tambahan pula dengan masalah kecederaan pemain yang dihadapi Rajagobal pada perlawanan itu.
Subahan yang juga Naib Presiden FAM sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Rajagobal untuk terus mengendalikan skuad kebangsaan meskipun misi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia dilihat lebih sukar berbanding mempertahankan kejuaraan Asia Tenggara ini.

Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia menentang Qatar pada 6 Februari sebelum bertemu Yaman dan Bahrain dalam saingan Kumpulan D.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...