Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 1 Disember 2012

Piala AFF: Prestasi Malaysia 'luar biasa'

1 Disember 2012 (29 November 2012)


Piala AFF: Najib bangga Harimau Malaya hidupkan peluang
Pemain Malaysia, NorShahrul Idlan Talaha diasak oleh pemain Laos ketika saingan malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
KEJAYAAN menewaskan Laos dengan empat jaringan membuktikan kemampuan sebenar pemain negara dalam mempertahankan Piala AFF Suzuki dua tahun lalu.

Selepas dikritik hebat apabila kalah 0-3 kepada Singapura Ahad lalu, Harimau Malaya akhirnya mempamerkan watak juara bertahan apabila membenam Laos dengan penuh bergaya 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Keresahan peminat dan rakyat Malaysia terhadap kemampuan skuad kebangsaan terus terubat apabila kutipan tiga mata itu membuka kembali harapan negara dalam misi mempertahankan kejuaraan kali ini.

Bukan itu sahaja, kejayaan ini jelas menggembirakan peminat tanah air yang ingin melihat kebangkitan skuad kebangsaan selepas mempamerkan aksi hambar sebelum ini.

Ini diakui sendiri oleh bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau menyifatkan kebangkitan yang dipamerkan oleh skuad Kebangsaan sangat luar biasa dan membanggakan.

Katanya, perubahan yang dilakukan Rajagobal dalam kesebelasan utama nyata berkesan terutamanya gandingan kapten pasukan, Safiq Rahim dan perancang Kelantan, Shakir Shaari.

"Inilah corak permainan yang kita mahukan. Sepatutnya ketika perlawanan Singapura, inilah yang harus dilakukan.

"Namun, kesilapan tidak perlu diingat, yang penting kebangkitan pemain sangat membanggakan.

"Pemain mempamerkan sikap juang yang tinggi dan corak permainan sangat bagus," katanya.

Menurutnya, wujud perubahan ketara dalam corak permainan skuad negara dengan kehadiran beberapa pemain yang diletakkan di bangku simpanan sebelum ini berbanding kesebelasan utama ketika menentang Singapura.

"Rajagobal telah menukar corak permainan dengan bermain secara bawah.

"Saya nampak kehadiran Shakir memberi ruang yang luas kepada Safiq membuat hantaran kepada barisan serangan.

"Dan, saya berharap ia dapat diteruskan apabila menentang Indonesia nanti," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khalid turut memuji barisan pemain negara yang bangkit untuk membuktikan bahawa skuad kebangsaan masih lagi pasukan yang digeruni dan terbaik dalam Asia Tenggara.

"Tahniah saya ucapkan kepada Rajagobal, Datuk Subahan Kamal dan terutama kepada pemain kerana berjaya membuktikan kita masih lagi pasukan yang terbaik.

"Kekalkan momentum dan elakkan melakukan kesilapan yang banyak," tambah Khalid yang menanggap Kehadiran Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mahali Jasuli jelas menonjol.

Dalam pada itu, ketika ditanya peluang pasukan negara untuk mencatat kemenangan menjelang pertemuan menentang Indonesia, Khalid tetap yakin dan percaya anak buah Rajagobal mampu melakukan perkara yang sama seperti mana ketika menentang Laos.

"Jika dilihat Indonesia sebenarnya bukanlah pasukan yang mantap, bahagian serangan yang dibarisi Elie Aiboy pun tidak lah berbahaya.

"Kita masih lagi terbaik. Apa yang penting sekarang, pemain kena kekal dan tingkatkan lagi permainan. Lakukan seperti mana yang dilakukan malam tadi.

"Sekiranya dapat dilakukan, kita mampu mara ke separuh akhir," jelas Khalid yang berharap pemain tidak mensia-siakan peluang yang kini terbuka luas untuk Malaysia.

Sementara itu, pensyarah sains sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datin Dr Sarina Mohd Yusof menyifatkan barisan pemain yang turun malam tadi adalah lebih baik dari barisan pemain "bintang."

"Prestasi Wan Zack Haikal dan Kunalan sangat cemerlang, walaupun Safee Sali menjaringkan satu gol tapi banyak cubaannya gagal," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa prestasi skuad kebangsaan lebih bagus dari perlawanan ketika menentang Singapura.
"Jelas kita nampak mereka bermain bermati-matian untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol.

"Apa yang boleh saya katakan, mereka telah bermain di tahap yang sebenar," jelas beliau.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, K Sanbagamaran menyifatkan keputusan positif yang diraih Malaysia bukan sahaja menjadi penyuntik motivasi kepada skuad negara.

Malah, turut membuktikan kepada pengkiritik dan peminat bahawa mereka mampu bangkit meskipun dikecam hebat sebelum ini.

"Inilah yang saya katakan, jangan cepat mengkiritk kerana disebabkan kekalahan pertama.

"Perlawanan belum berakhir. Dan sekarang pemain buktikan kita mampu bangkit dan meraih kemenangan yang besar dengan laos," katanya.

Pada masa sama, K Sanbagamaran turut berbangga dengan prestasi menakjubkan yang dipamerkan oleh anak buah Rajagobal.

"Meskipun dimaki dan dikritik, pemain berjaya mengatasi tekanan dan situasi tersebut.

"Pemain menunjukkan keyakinan dan semangat yang tinggi terutamanya pada separuh masa kedua.

"Inilah karakter sebenar pemain kebangsaan. Teruskan persembahan ini, dan saya yakin kita mampu mengatasi Indonesia nanti," ujar beliau.

Namun pemain tengah kebangsaan itu mahu pemain negara tidak terus dibuai dengan kemenangan itu.

"Perlawanan menentang Indonesia ibarat final. Sekiranya kalah kita akan tersingkir.

"Jadi, teruskan momentum dan kekalkan corak permainan yang sedia ada.

"Peluang kini terbuka untuk ke separuh akhir, jadi jangan sia-siakannya,” katanya.
Malaysia kini berada di tempat ketiga Kumpulan B apabila berkongsi tiga mata dengan Singapura, namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...