Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 6 Disember 2012

Harimau Malaya ke Bangkok naik pesawat khas

7 Disember 2012


KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya dijanjikan menaiki pesawat khas Air Asia yang kini dilukis gambar harimau seperti skuad bawah 23 tahun pulang daripada Sukan SEA 2011, bagi menghadapi Thailand dalam separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Bangkok.

Malah skuad negara mungkin ditemani ribuan penyokong dengan kemudahan yang hampir sama.
Rundingan awal Kementerian Belia dan Sukan dengan syarikat penerbangan tambang rendah itu kelmarin, bakal membolehkan penyokong mendapat tambang penerbangan yang lebih murah dan kemudahan bas dari lapangan terbang ke stadium pergi balik hari yang sama 13 Disember ini, tanpa perlu menginap.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata: "Kita akan cari kos yang paling murah selain menampung kos minyak, juruterbang dan tempat letak pesawat namun bergantung kepada sebanyak mana penyokong yang mahu ke sana dan ada atau tidak jumlah pesawat Air Asia untuk membawanya.

"Kita mahu beribu-ribu penyokong ke Bangkok kerana kalau setakat 100 atau 200 orang sahaja, tidak akan memberikan banyak impak kepada pasukan.

"Pada prinsipnya (kelmarin), Air Asia bersetuju tetapi mereka kena juga tengok dulu adakah ini tidak mengganggu penerbangan yang telah dijadualkan," katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang akhbar Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDTone 2012 di sini, semalam, menambah: "Kita juga akan cuba jadikan tradisi sekiranya berlawan di luar dalam kejohanan penting, pasukan kita akan mendapat pesawat khas (kerjasama Air Asia) seperti mana Manchester United dan Chelsea (kelab gergasi Liga Perdana England).

"Ketika pasukan bawah 23 tahun kita menang pingat emas Sukan SEA 2011, Air Asia telah membantu mendapatkan pesawat khas untuk membawa mereka pulang (bagi menghadapi Kelayakan Olimpik sehari kemudian).

"Air Asia juga telah mengecat gambar harimau pada pesawat itu sebagai penghormatan daripada sedikit caj yang dikenakan.

"Hasil pertemuan kementerian, Air Asia dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia, kelmarin) mengenai hal itu, positif. Pasukan negara tiada masalah dan mereka akan berlepas dengannya pada 10 Disember manakala soal penyokong, saya akan minta FAM umumkan," kata Ahmad Shabery.

Sementara itu, Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDTone 2012 di Pusat Skuasy Negara Majlis Sukan Negara, Jalan Duta di sini dari 12 hingga 16 Disember ini, bakal mencatat rekod penyertaan terbesar dengan menarik minat 480 pemain termasuk dari Singapura, Jepun, India dan Papua New Guinea.

Kejohanan kali keenam anjuran Persatuan Skuasy Reket Wilayah Persekutuan (SRAFT) yang turut disokong Persekutuan Skuasy Asia (ASF) dan Persatuan Skuasy Reket Malaysia (SRAM) ini, akan mempertandingkan enam kategori iaitu bawah sembilan, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun lelaki dan wanita.

Seperti Terbuka Remaja Britain, tiada hadiah wang tunai yang ditawarkan dan digantikan dengan pingat dan hadiah barangan pada kejohanan yang mendapat penajaan RM100,000 ini tetapi pencapaian pemain (kecuali bawah sembilan tahun) bakal memberikan mata ranking bulanan ASF mulai Januari tahun depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121207/su_04/Harimau-Malaya-ke-Bangkok-naik-pesawat-khas#ixzz2EKPBhedu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...