Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 1 Disember 2012

Garuda rebah

02 Disember 2012



MAHALI Jazuli puas selepas menjaringkan gol kedua Malaysia untuk membantu Harimau Malaya menumbangkan Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Garuda akhirnya tumbang dibaham Harimau Malaya yang mencatat kemenangan 2-0 untuk merintis laluan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF selaku naib juara Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Laluan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan bagaimanapun penuh dengan ranjau apabila bakal berdepan pasukan pilihan, Thailand yang muncul juara Kumpulan A selepas Singapura menjuarai Kumpulan B dengan menang 4-3 ke atas Laos dalam satu lagi pertembungan, semalam.

Dua jaringan sumbangan Azamuddin Akil pada minit ke-26 dan Mahali Jasuli, tiga minit kemudian memastikan Indonesia terus kempunan merangkul kejuaraan sulung Piala Suzuki AFF.

Sebaliknya Malaysia kini berpeluang mempertahankan gelaran yang dimiliki pada 2010.

Skrip yang terjadi dua tahun lalu nampaknya seakan-akan berulang selepas bermula dengan kekalahan tetapi bangun pada baki dua perlawanan kumpulan, sebagaimana karakternya seekor Harimau, Malaysia kini dilihat semakin rakus mencakar mangsa-mangsanya.

Pemain negara berjuang bermati-matian menangkis serangan-serangan berbisa lawan, terutama melalui Andik Vermansyah dan pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan negara yang menyerap segala tekanan skuad Garuda.

Malah, Rajagobal terpaksa melakukan tiga pertukaran awal ketika permainan masih berbaki 20 minit ekoran masalah kecederaan yang dialami oleh pemain.

Safee Sali terpaksa meneruskan permainan biarpun cedera dan semangat pahlawan Harimau Malaya memang wajar dipuji.

Jika Garuda berbangga dengan Andik, Wan Zack Haikal Wan Nor sebenarnya nampak lebih hebat daripada pemain itu dengan banyak kali berjaya membocori kawalan pertahanan Indonesia.

Mahali juga dianggap pemain terbaik perlawanan dengan menjaringkan satu gol, selain melakukan hantaran kepada Azamuddin bagi jaringan sulung perlawanan.

Seperti dijangka, S. Kunanlan yang diberitakan mengalami kecederaan pangkal paha tidak diturunkan bersama Khyril Muhymeen. Datuk K. Rajagobal menurunkan Azamuddin mengisi posisi sayap di sebelah kiri.

Pada 20 minit terawal permainan, Harimau Malaya bermula dengan gugup selepas barisan pertahanan banyak melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada Samsul Arif Munip dan Irfan Bachdim melancarkan beberapa serangan berbahaya ke pintu gol yang dikawal Mohd. Farizal Marlias.

Aksi di bahagian tengah juga kurang menjadi dengan Safiq Rahim yang digandingkan bersama Shakir Shaari sering kali melepaskan kawalan bola kepada Garuda.

Namun, percaturan taktikal Rajagobal menukar Azamuddin ke bahagian kiri dan Wan Zack pula ke kanan memberikan pulangan lumayan apabila dua gol dapat dicetak dalam tempoh lima minit.

Melalui gerakan satu dua bersama Wan Zack, Mahali melakukan hantaran silang cantik ke dalam kotak penalti Indonesia yang sempat disentuh sedikit oleh Safee dan dilunaskan penuh bergaya oleh Azamuddin, pemain yang mendapat panggilan semula setelah kecederaan Zaquan Adha Abdul Razak.

Gol itu ternyata menggamatkan 85,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, di mana 70,000 daripadanya adalah penyokong Malaysia.

Tidak sampai tiga minit kemudian, kegembiraan penyokong Harimau Malaya berterusan.

Berpunca daripada kawalan Wan Zack, dia bijak menduga gerakan Mahali dan melorongkan bola kepada bek kanan negara itu sebelum melepaskan percubaan daripada sudut sukar bagi meletakkan Harimau Malaya selesa di hadapan.
Tersentak dengan jaringan itu, Nil Mahzar tiada pilihan kecuali memasukkan bintang muda mereka, Andik tetapi kubu pertahanan Malaysia yang dikendalikan Aidil Zafuan dan Mohd. Fadhli Shas berjaya memenuhi janji mereka bagi memastikan gawang Harimau Malaya tidak bocor lagi.

Bagaimanapun kemenangan Malaysia terpaksa dibayar dengan harga yang mahal kerana dua penyerang utama, Norshahrul dan Safee berdepan kecederaan dan belum pasti dapat pulih dalam tempoh seminggu ini.

Separuh akhir pertama akan berlangsung di Bukit Jalil pada 9 Disember dan Harimau Malaya akan berkunjung ke Bangkok pada 13 Disember.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121202/su_01/Garuda-rebah#ixzz2DrJjvO5N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...