Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 24 November 2012

Rajagobal resah, harapkan motivasi senjata terakhir

25 November 2012 (22 November 2012)


KUALA LUMPUR - Tinggal tiga hari lagi menjelang saingan sulung Piala Suzuki AFF, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal semakin diundang keresahan tidak menentu apabila melihat anak-anak buahnya terus buntu mencapai kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut biarpun menentang Bangladesh.

Tiada lagi alasan dapat diberikan, sebaliknya mengakui kelemahan ketara yang ditunjukkan oleh para pemain.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, tiada apa yang dilakukan dalam tempoh singkat ini melainkan memberi motivasi kepada para pemain tanpa memikirkan lagi persiapan lain.

Malah, dia hanya mahu menanti perlawanan dengan Singapura pada Ahad ini untuk melihat sejauh mana peluang pasukannya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF kali ini selepas tidak banyak perkara positif dapat dinilai pada aksi perlawanan dengan Hong Kong dan Bangladesh.

"Hanya memotivasikan para pemain sahaja dapat dilakukan dalam masa baki empat hari ini, tiada apa lagi saya boleh berikan kerana masa semakin suntuk.

"Seperti mana saya perkatakan sebelum ini, momentum pasukan ini kena ada menjelang beberapa hari perlawanan sebenar tetapi kita sekarang tiada pilihan lain.

"Walaupun kita memerlukan kemenangan bagi meningkatkan keyakinan tetapi itu tidak terjadi dan saya memang rasa bimbang untuk menghadapi perlawanan pertama," katanya tanpa berselindung pada sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan dengan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada masa sama, Rajagobal turut menegur para pemainnya yang seperti ketiadaan tenaga ketika 
menentang Bangladesh yang cukup bersemangat pada perlawanan berkenaan.

"Menentang Singapura pada Ahad ini, para pemain tidak boleh lagi bermain seperti ini kerana bagaikan ketiadaan tenaga.

"Tiada sebarang gerakan yang menarik daripada pemain dan Bangladesh pula yang memberikan tekanan kepada kita malahan rentak permainan kita terlalu lembap," katanya dalam nada kehampaan.

Kegagalan Harimau Malaya mencari kemenangan penawar ke atas Bangladesh ternyata sukar ditelan oleh para penyokong setia negara berikutan lawan yang sama baru sahaja dibelasah 5-0 oleh Thailand ditambah dengan persembahan longlai yang dipamerkan selama 90 minit perlawanan.

Aksi pemain jelas tidak bersemangat di atas padang di samping kegagalan mencipta banyak gerakan menarik ke arah pertahanan Bangladesh selepas mendahului 1-0 melalui Khyril Muhymeen pada minit ke-24 sebelum sepakan penalti Md. Jihad Hasan mengikat Harimau Malaya 1-1.

Kecederaan Zaquan Adha di bahagian serangan memaksa Rajagobal memanggil semula pemain Pahang, Azamuddin Akil ke dalam skuad yang digugurkan pada minggu lalu.

"Zaquan disahkan tidak boleh bermain kerana mendapat kecederaan dalam perlawanan ini dan saya akan bawa Azamuddin kembali ke dalam skuad.

"Mengenai barisan 22 pemain, saya sudah dapat bayangan cuma saya belum mahu mengumumkan dua lagi pemain yang akan digugurkan pada hari ini kerana bimbang akan ada kecederaan pemain lain di saat akhir," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121122/su_02/Rajagobal-resah-harapkan-motivasi-senjata-terakhir#ixzz2DCDrNCuD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...