Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 26 November 2012

Langkah sumbang

26 November 2012


REAKSI kecewa Norshahrul Idlan selepas rembatannya tersasar melepasi palang gol lawan dalam saingan Piala Suzuki AFF 2012 menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Singapura menang 3-0. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Apa lagi mahu dikata? Permulaan menarik yang diharapkan buat Harimau Malaya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Suzuki AFF nampaknya hanya tinggal harapan kosong semata-mata.
Kita kalah dengan cara yang memalukan 0-3 kepada Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol melalui ketua pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 sebelum disudahkan dengan penuh bergaya oleh pemain berusia 42 tahun, Aleksandar Duric pada minit ke-75 untuk melengkapkan mimpi ngeri jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan para pemain Harimau Malaya di hadapan kira-kira 40,000 penonton.

Masalah sama yang sebenarnya sudah boleh dapat dikesan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini nampaknya tetap terjadi dengan kelemahan ketara bahagian pertahanan dan tengah yang menjadi punca kepada kemenangan Singapura.

Rajagobal jelas tidak mengambil pengajaran berguna apabila melihat jentera tengah yang dikawal oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan cukup pincang dalam mengawal permainan lantas membuka ruang kepada lawan mencipta gerakan-gerakan berbahaya ke kubu Malaysia.

Namun, masalah paling ketara buat skuad bimbingan Rajagobal ialah barisan pertahanan yang banyak melakukan kesilapan mudah dengan persefahaman para pemain menjadi persoalan besar.

Dua daripada tiga gol Singapura ternyata merupakan kecuaian pertahanan yang tidak merantai kemas pergerakan penyerang lawan terutamanya Shahril yang menjadi pemusnah semangat perjuangan Harimau Malaya.

Gandingan Aidil Zafuan, Fadhli Shas dan Azmi Muslim sering sahaja 'lemas' dengan hantaran-hantaran lintang berbahaya daripada Shahdan Sulaiman di samping prestasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang sedang sibuk memikirkan soal perkahawinannya pada 28 Disember depan tiba-tiba berada di tahap yang meragukan.

Biarpun Malaysia memberikan harapan besar seolah-olah mampu menjinakkan Singapura pada 30 minit permainan melalui gerakan berbahaya Norshahrul Idlan Talaha, segala-galanya berubah apabila pelawat memecahkan kebuntuan dua minit kemudian dengan gol daripada Shahril Ishak.

Berpunca daripada hantaran silang Shahdan dari sebelah kiri, Shahril bijak mengeksploitasi kelemahan komunikasi antara Azmi Muslim dan Fadhli Shas sebelum mudah menyepak masuk ke dalam gawang Malaysia yang ternganga luas.

Gol itu ternyata menyentap semangat anak-anak buah Rajagobal yang bagaikan hilang fokus selepas itu dan ia memberikan ruang kepada Shahril sekali lagi mengukuhkan kedudukan Singapura dengan jaringan kedua pada minit ke-37.

Segalanya bermula dengan kesilapan Khairul Fahmi yang menepis bola ke belakang yang cuba diselamatkan oleh Fadhli yang dapat menanduk keluar atas garisan gol namun Shahril dapat menyambar bola tersebut dengan menanduk kemas ke dalam pintu gol.

Membawa masuk Wan Zack Haikal di separuh masa kedua menggantikan Khyril Muhymeen tidak memberikan apa-apa impak dengan Safee Sali serta Norshahrul masih gagal mendapatkan bola hantaran berkualiti daripada barisan tengah.

Duric yang hanya dibawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 akhirnya dapat melepaskan hajatnya menjaringkan gol ketika berdepan Malaysia apabila dia yang tidak dikawal oleh Aidil serta Fadhli, lima minit kemudian menanduk cantik hantaran Shahdan yang layak dianggap pemain terbaik pada perlawanan itu.

Gol itu ternyata membunuh apa perjuangan pemain Harimau Malaya dengan penyokong-penyokong Malaysia mula keluar stadium secara perlahan-lahan sambil segolongan penyokong yang digelar Ultras Malaya menyorak dengan memperkatakan "Rajagobal, apakah yang engkau buat." bagi menamatkan malam penuh mengecewakan Harimau Malaya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121126/su_01/Langkah-sumbang#ixzz2DKXcEDas
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...