Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 22 September 2012

Idea berani Afdlin

23 September 2012


FILEM Untuk Tiga Hari cukup istimewa buat Vanidah Imran apabila berpeluang bergandingan dengan suami, Rashidi Ishak, sebagai pasangan kekasih buat kali pertama di layar perak.
Idea berani sutradara yang juga pelakon utama filem ini, Afdlin Shauki, seakan-akan meniup semangat luar biasa kepada Vanidah dan Rashidi dalam memberikan komitmen terbaik. 
Akui aktres jelita ini, dia terkejut apabila nama suaminya meluncur laju dari bibir Afdlin ketika ditanya siapakah pasangannya dalam filem yang diangkat dari novel. Seakan-akan bermimpi kerana sudah sekian lama senario itu diidamkan.

“Inilah kali pertama kami bercinta sebagai kekasih di skrin. Sebelum ini tiada pengarah atau penerbit yang tawarkan kami muncul sebagai kekasih. Saya suka bekerja dengan Afdlin sebab dia selalu tampil dengan idea lain dari lain dan memandang sesuatu perkara itu dari sudut berbeza.

“Wujud cabaran apabila Afdlin gandingkan saya dengan Shidi kerana Afdlin sangat mementingkan kejujuran dan ketelitian dalam lakonan. Biarpun di luar (skrip) kami suami isteri, dalam filem ini kami kekasih dan harus membataskan kemesraan. Berlakon di bawah arahan Afdlin, dia tahu apa yang kami zahirkan itu jujur atau tidak,” katanya.

Dalam filem terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd ini yang mula menjengah pawagam Khamis lalu, ibu dua cahaya mata itu mengakui meskipun beraksi dalam filem sama, baik dia mahupun Rashidi tidak bercakap mengenai kerja di rumah malah amat menekankan aspek profesional di lokasi penggambaran.

Status suami isteri tidak ‘menghalalkan’ mereka untuk berkepit 24 jam, sebaliknya masing-masing memilih untuk duduk berasingan di lokasi. Malah mereka juga memandu kereta masing-masing ke lokasi.

Mengenai watak Ujie dalam filem ini, Vanidah yang dipilih Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, berkata ia mewakili wanita biasa yang berdepan dengan konflik cinta dan jodoh.

Katanya, senario itu pernah dialami ramai wanita. Biarpun nampak mudah, hakikatnya ia sangat mencabar kerana Afdlin amat mementingkan kehalusan dalam penjiwaan watak. Banyak perkara yang perlu dikawal lebih-lebih lagi membabitkan emosi agar tiada yang kurang atau berlebihan.

“Semua pelakon dituntut menghidupkan watak senatural mungkin. Malah lontaran dialog seperti dalam perbualan biasa agar hasilnya lebih asli dan dekat di hati penonton.

“Untuk babak Armi menyanyi untuk Ujie, saya tidak tahu apa lagu yang Afdlin akan nyanyikan. Bila ‘shoot’ itulah pertama kali saya dengar dan apa juga reaksi di wajah saya benar-benar jujur dan ia diabadikan dalam filem ini.

“Selain sukar menjayakan babak cinta dengan Rashidi, babak paling susah buat saya adalah melatah. Saya bukan jenis yang melatah dan bila perlu melakonkannya, agak sukar. Kebetulan pembantu juru solek dan pembantu wardrobe melatah, jadi saya belajar dengan mereka,” katanya yang meletakkan harapan tinggi filem ini dapat diterima ramai.

Mengenai kritikan segelitir pihak mendakwa usia barisan bintang utama filem ini tidak kena dengan watak, Vanidah dengan penuh berhati-hati berkata, itu sekadar pandangan dan tidak sewajarnya dijadikan isu.

“Kenapa usia menjadi ukuran sedangkan naratifnya bukan mengupas cinta remaja. Bukan ambil hati tetapi seharusnya penonton lebih terbuka dan menghargai bakat tempatan seperti mana mereka dapat menerima karya dan bakat dari luar.

“Itu masalah industri kita. Kalau di Hollywood, makin berusia lebih dihargai tetapi di sini tidak. Dalam mana-mana bidang pun di dunia ini yang lebih berpengalaman biasanya lebih bagus.

“Kadang-kadang orang suka mengkritik tetapi mereka tidak tahu pasal industri filem. Semua orang boleh cakap apa saja malah sebagai pelakon saya terbuka dalam menerima kritikan. Kalau itu yang mereka fikir, apa boleh buat. Itu pandangan mereka.

“Saya memang kesal, jika menonton filem Barat boleh pula mereka terima hero dan heroin berusia hidupkan watak pasangan kekasih. Adakah ini bermakna minda kita masih dijajah?

“Sepatutnya kita kena hargai bakat tempatan, jangan tengok usia. Dalam novel pun cinta yang dipaparkan bukanlah cinta pasangan belasan tahun tetapi mereka yang sudah bekerja dan matang dalam memahami erti jodoh dan ketentuan Ilahi,” katanya.

Akui Vanidah, ada sedikit pengubahsuaian dalam naratif yang mengikut naskhah asal berlatar belakang era 1980-an tetapi agar sesuai buat tontonan zaman ini, maka ia dimodenkan. Malah tidak semua paparan dalam novel diterjemahkan ke layar lebar berikutan durasi terhad filem.

Filem adaptasi novel nukilan Ahadiat Akashah ini mengisahkan Zafrin dan Ujie bercinta ketika menuntut di universiti tetapi berhadapan dilema apabila terpaksa berkahwin dengan pilihan keluarga. Mengikat janji untuk setia selama-lamanya, mereka memutuskan untuk berpisah dengan pasangan masing-masing selepas tiga hari mendirikan rumah tangga.

Majlis perkahwinan Zafrin dan Ujie berlangsung pada hari dan masa yang sama. Namun dalam tempoh tiga hari, mereka dirundung rasa bersalah berikutan sikap baik pasangan masing-masing. Mula timbul kesedaran dalam diri itulah jodoh terbaik buat mereka dan meneruskan takdir itu mungkin keputusan terbaik dalam hidup mereka.

Ikuti kesudahan nasib Zafrin dan Ujie dalam Untuk Tiga Hari yang turut dibintangi Ayu Raudhah, Dira Abu Zahar, Zizan Nin, Ainul Aishah, Nabil Ahmad, Zizan Raja Lawak, Fauziah Ahmad Daud, Zaib dan Khatijah Tan. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...