Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 12 Julai 2012

Rita lebih tenang setelah pulang dari Makkah

12 Julai 2012


Rita Rudaini
Rita Rudaini
Keretakan rumah tangga aktres, Rita Rudaini Mokhtar, 36, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, 25, bukan lagi satu rahsia.

Hubungan yang pada mulanya dibina berlandaskan cinta dan kasih, kini makin goyah.

Namun, di sebalik pergolakan demi pergolakan yang berlaku, Rita tidak sedikit pun mengeluh, apatah lagi mempersoalkan ujian ALLAH SWT buatnya.

Akui tidak sedikit pun tertekan mahu pun bersedih dengan masalah yang dihadapinya, Rita berkata, dia sangat bahagia di samping lelaki terpenting dalam hidupnya - Airit Rayyan  Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna setahun.

"Pernah ketika saya sedang mengandungkan Qaqa, saya masuk ke dalam bilik air untuk menangis kerana tidak mahu dilihat Rayyan, tapi Rayyan masuk ke dalam bilik air, duduk di riba saya dan menemani saya sehingga berhenti menangis.

"Setelah empat tahun berumah tangga dan pernah melalui dugaan sebegini sebelum ini, hati saya sudah kebal. Saya dah puas menangis dan kini saya tak rasa sedih lagi. Yang penting, saya bahagia bersama anak-anak dan mereka adalah kekuatan saya," ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran filem Balistik, kelmarin.

Demi memastikan anak-anak tidak terabai, Rita telah meletakkan syarat kepada pihak produksi bahawa waktu bekerjanya harus berakhir pada jam 10.30 malam.

"Bukan mahu berlagak diva, tapi demi memberi masa yang adil buat anak-anak, saya sudah menetapkan waktu penggambaran untuk saya harus berakhir jam 10.30 malam.

"Buat masa ini, kesemua produksi yang bekerja dengan saya tidak ada masalah dengan syarat saya itu. Jika saya bekerja, anak-anak akan ditinggalkan dengan pengasuh di rumah.

“Tapi kalau ada penggambaran di luar Kuala Lumpur, saya akan membawa anak-anak sekali dan kami akan menginap di hotel,” katanya.


Ikut rentak Aidil

Menyentuh tentang kes penceraiannya yang kini masih berjalan di mahkamah, Rita berkata, dia kini mengikut sahaja rentak permainan Aidil dan menyerahkan nasib rumah tangganya kepada takdir.

Menurut Rita, selepas pulang dari menunaikan umrah pertengahan Jun lepas, dia menjadi lebih kuat dan tenang.

"Walaupun Allah menduga saya dengan masalah rumah tangga, tapi Dia bagi ketenangan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkapkan.

"Malah, walaupun Ramadan belum menjelma, saya dah siapkan kelengkapan raya buat saya dan anak-anak," katanya yang tidak sabar menyambut lebaran bersama Rayyan dan Qaqa.

Katanya, anak-anak juga tidak pernah bertanya di mana Aidil memandangkan mereka lebih rapat dengannya.

"Saya dan anak-anak tidak pernah berpisah, malah jika ibu bapa saya datang pun, mereka tidak berpeluang tidur dengan anak-anak saya kerana anak-anak mahu tidur dengan saya.

"Begitu juga dengan daddy mereka, walaupun dalam tempoh tujuh bulan selepas Aidil meninggalkan rumah, hanya tiga hingga empat kali Aidil pulang ke rumah, mereka tidak pernah tanya ke mana Aidil pergi," jelasnya.


Dilamar Rosyam Nor

Berkongsi perkembangan seninya, Rita yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Balistik mengakui berasa teruja apabila dilamar Rosyam Nor untuk membintangi filem terbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd dan Asia Tropical Films Sdn Bhd (ATF).

Katanya, sejak dulu lagi, dia tidak pernah menolak lamaran Rosyam, biarpun watak kecil sekali pun.

"Kalau terima tawaran, saya akan lihat dahulu bagaimana jalan cerita, pengarah dan pelakon. Saya akui sangat selektif memilih tawaran lakonan.

"Pertama kali Rosyam tawar saya berlakon drama Rozana, dia buat saya jadi lebih bagus. Kemudian, bila dia tawar berlakon drama terbitannya, tawaran itu tidak pernah mengecewakan. Jadi, bila dia tawar saya berlakon Balistik, saya tidak teragak-agak untuk terima," katanya.

Biarpun pernah meletakkan karier lakonan di tempat kedua sebelum ini, Rita kini terpaksa aktif kembali dalam lakonan demi mencari nafkah buat anak-anak.

"Saya meletakkan karier dan keluarga, 50-50. Tapi, saya bersyukur kerana masih diterima peminat dan ada peminat yang kata saya seperti wajah eksklusif. Susah nak lihat saya muncul di kaca televisyen, tapi bila saya muncul, mereka pasti akan menonton lakonan saya,"
katanya yang merancang untuk menceburi bidang perniagaan dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...