Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 16 Oktober 2011

Kami bahagia

17 Oktober 2011


DETIK persandingan Ayu dan Zaquan pada Januari lalu.
DETIK persandingan Ayu dan Zaquan pada Januari lalu.
Ayu nafi cuba larikan diri daripada media 

BARU sepuluh bulan bergelar suami isteri, rumah tangga aktres Ayu Raudhah Che Wan, 26, dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, digembar-gemburkan sudah berantakan. Paling tidak, itulah gosip terbaru yang mula tersebar, dikatakan membabitkan pasangan selebriti ini.
Walaupun nama artis terbabit tidak didedahkan di laman gosip, daripada bayangan yang diberi, sesiapa pun dapat meneka kisah itu ada kaitan dengan pasangan popular ini.
Siapa yang tidak terkejut, inai di jari masih merah, kemanisan berumahtangga juga baru hendak dikecapi, tiba-tiba muncul cerita mereka tidak lagi sehaluan. Peminat juga dilanda kebimbangan, apabila terbaca cerita sedemikian. Apatah lagi apabila mereka sering terdengar peribahasa mengatakan, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang orang tak kata. 

Namun bagi wanita ini, biarlah apa orang hendak kata, hakikatnya hanya dia dan suami yang tahu keadaan sebenar. Hampir setahun melayari bahtera rumah tangga, Ayu menegaskan, mereka berdua masih lagi bahagia. 

“Saya tahu bagaimana keadaan rumah tangga kami, kenapa orang lain pula yang lebih mengetahui. Biarlah orang nak kata apa pun, jujur ikhlas, saya dan suami sedang berbahagia. Tiada apa yang ingin kami sembunyikan. 

“Kami tidak pernah bergaduh dan tidak pernah juga tinggal berjauhan. Sejak berkahwin, saya menetap di kediaman yang dibeli oleh suami sebelum kami kahwin di Seremban. Setiap hari saya akan berulang alik ke Kuala Lumpur sekiranya ada penggambaran. Belum pernah lagi kami berjauhan. Jadi, nak kata rumah tangga kami berantakan kerana kami tinggal berjauhan adalah tidak mungkin sama sekali. 
“Sejak berkahwin, suami pun belum lagi diarahkan ke mana-mana. Dia ada saja di sini. Jika saya dan suami duduk berjauhan, mesti saya terasa dengan khabar angin ini dan silap hari bulan boleh menjadi punca pergaduhan. Alhamdulillah, khabar angin itu tidak menjejaskan langsung hubungan kami. Malah kami langsung tidak bergaduh mengenainya,” katanya ketika dihubungi Jumaat lalu. 

Ketika gosip itu heboh di internet, Ayu sedang menjalani penggambaran telefilem Gemersik Kalbu untuk slot Akasia. Katanya, dia hanya mengetahui kewujudan gosip itu selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya. Zaquan pula maklum mengenai cerita berkenaan daripada kembarnya sendiri, Mohd Aidil Zafuan. 

Pada hari cerita berkenaan tersebar, Ayu mengaku ramai wartawan menghubunginya. Bagaimanapun dia tidak dapat membalas panggilan mereka kerana sibuk di lokasi. Akibatnya, dia didakwa cuba melarikan diri. 

“Suami menghubungi saya antara jam 10 pagi hingga 11 pagi. Dia tanya sama ada saya tahu atau tidak perihal gosip kami. Saya kata, saya tidak tahu sebab di lokasi tiada internet. Jadi saya minta dia hantarkan pada saya cerita itu. Selepas itu, telefon saya mula berbunyi bertalu-talu, tetapi saya tidak sempat menjawab kerana sibuk dengan penggambaran. 

“Akibatnya, saya dituduh mahu melarikan diri daripada media. Sebenarnya, saya bukan sengaja tidak menjawab telefon tetapi waktu itu saya memang sedang sibuk di lokasi. Mereka yang buat tuduhan itu bukannya nak siasat betul-betul. Selepas sebarkan di internet, barulah mereka telefon untuk mendapatkan kepastian,” katanya yang kedengaran ceria ketika berbicara. 

Biarpun suaranya di hujung talian kedengaran ceria, namun jauh di sudut hati wanita ini tetap tersimpan perasaan kecewa apabila ada yang mengatakan gosip keretakan rumah tangganya sebagai karma kerana memburukkan rumah tangga orang lain. 

Tanya adik kepada Rozita Che Wan itu, apa buktinya dia pernah memburukkan rumah tangga orang lain sehingga menyebabkan hubungan seorang aktres dengan suaminya bergoyang? 

“Ada juga saya terbaca maklum balas pembaca blog kononnya apa yang berlaku sebagai karma. Ingin juga saya tahu, apa yang saya sudah buat? Bila masa pula saya runtuhkan rumah tangga orang? Dengan cara apa? 
Kalau boleh, saya tidak mahu lagi besar-besarkan hal ini,” katanya yang tidak pernah berasa tercabar memiliki suami yang terkenal. 

Katanya, jika dia bimbang dengan populariti Zaquan, pasti dia tidak akan memilih lelaki itu sebagai teman hidup. Dia faham suaminya juga milik masyarakat. Sejak sebelum kahwin lagi dia sudah berdepan dengan situasi di mana suaminya sering dikerumuni peminat. Baginya selagi peminat Zaquan tahu menjaga batasan mereka, dia tidak mempunyai sebarang masalah. 

Didakwa minta bayaran tinggi 

SELEPAS bergelar isteri, Ayu Raudhah agak terkejut kerana rezeki lakonannya datang mencurah-curah. Pada jangkaannya, selepas berkahwin, tentu aktiviti lakonannya akan sedikit perlahan. 

Malah dia sudah bersedia untuk bergelar suri rumah sekiranya tidak lagi diperlukan dalam industri. Bagaimanapun tanggapannya meleset apabila tawaran yang diterima cukup kencang. 

Namun baru-baru ini timbul pula satu lagi isu kononnya Ayu sudah mula ‘demand’. Dia dikatakan meminta bayaran tidak setimpal dengan populariti diri. Akibatnya ada produksi yang mula berkira-kira mahu mengambilnya berlakon. 

“Dakwaan mengatakan saya meminta bayaran sehingga RM3,000 satu episod itu tidak benar. Saya tahu di mana kedudukan dan pengalaman saya dalam bidang ini. Memang saya ada menetapkan sekian-sekian bayaran, tapi tidaklah seperti yang didakwa itu. 

“Kalau syarikat produksi mampu, mereka ambil. Jika tidak, saya tak kisah kerana banyak syarikat lain yang sanggup bayar. Mereka kenalah faham, saya kini menetap di Seremban. Jadi mereka perlulah mengira kos saya berulang-alik setiap hari,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...