Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 25 Februari 2011

Pertahanan kebal azimat skuad Olimpik

25 Februari 2011


PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Pakistan 2-0 bersama jurulatih, Ong Kim Swee (dua dari kanan) dan pegawai pasukan selepas berakhir pusingan pertama kelayakan Olimpik di Stadium Shah Alam, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Naim AziZ



SHAH ALAM - Kekuatan jentera pertahanan skuad Harimau Muda menjadi faktor utama kejayaan pada perlawanan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Bahagian pertahanan yang berfungsi dengan sempurna pada perlawanan tersebut berjaya membuatkan Pakistan tertekan sehingga menyebabkan pasukan pelawat terpaksa menukar strategi pada babak kedua dalam usaha untuk membolos gawang tuan rumah.

Perubahan corak permainan dapat dilihat apabila Pakistan memasukkan penjaga gol gantian Muhammad Umer pada separuh masa kedua yang berupaya menghantar bola tinggi terus ke bahagian serangan pasukannya sekali gus dapat melepasi barisan pemain tengah skuad Olimpik negara.

Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Pakistan ternyata gagal membuahkan hasil selain tidak berupaya mendapatkan sebarang jaringan.

Malah, kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Pakistan di laman sendiri itu mampu menjadi bekalan bermakna buat skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee ketika berkunjung di Stadium Bola Sepak Punjab, Lahore Pakistan pada 9 Mac ini.

Mengulas aksi perlawanan kelmarin, Kim Swee berkata, kesemua pemain pertahanan menunjukkan kesungguhan yang baik sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung terutama untuk mengekang asakan pihak lawan.

"Mereka telah lakukan apa yang mereka mahu pada perlawanan itu sehingga berupaya menutup ruang untuk Pakistan melakukan jaringan.

"Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat juga berupaya mengekalkan prestasi cemerlang dengan bantuan jentera pertahanan dan saya amat puas hati dengan kemenangan ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini, kelmarin.

Pada perlawanan kelmarin skuad kebangsaan memperoleh jaringan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit ketiga dan Mohd. Irfan Fazail minit ke-45.

Sementara itu, Kim Swee berkata, kesemua kesebelasan utama yang ada kini masih belum pasti sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.

"Bergantung kepada kecergasan pemain untuk terus kekal dalam kesebelasan utama kerana selepas ini ada antara mereka yang akan beraksi dalam Liga Super dan Piala FA mewakili pasukan masing-masing.

"Namun, saya tetap berharap mereka yang ada kini bebas daripada kecederaan untuk menghadapi perlawanan kedua di Pakistan nanti," jelas Kim Swee.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...