Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 23 Januari 2011

'Ayu fahami kerjaya saya'

23 Januari 2011


LAZIMNYA, adik-beradik kembar mempunyai persamaan dalam beberapa aspek selain wajah yang seiras, sikap dan minat juga kadang kala hampir sama antara satu sama lain, namun jarang sekali jika ia dikaitkan dengan soal jodoh, tetapi bagi kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, jodoh mereka dengan artis, tentunya unik sama ada ia suatu kebetulan atau sebaliknya.
Hakikatnya, Zaquan, 23, sudah menamatkan zaman bujangnya selepas diijabkabul dengan artis popular, Ayu Raudhah Che Wan, 26, kelmarin, sekali gus mengikut jejak langkah abangnya, Aidil yang sebelum itu mengahwini Rita Rudaini Mokhtar.

Namun, ketika ditanya sama ada dia mengikut jejak langkah abangnya, Zaquan pantas menafikannya sebaliknya menyifatkan ia kebetulan dan kerana jodoh, malah penyerang kebangsaan dan Negeri Sembilan itu seperti tidak percaya apabila bertemu jodoh dengan seorang artis.
“Memang saya rasa amat teruja dan tidak percaya akan menamatkan zaman bujang dalam tempoh yang begitu cepat selepas abang (Aidil) mendirikan rumah tangga pada 2008.

“Malah daripada awal lagi, saya tiada perancangan menjadikan artis sebagai isteri seperti abang, tapi kita harus percaya semuanya ini sudah menjadi ketentuan Ilahi kerana kita hanya boleh merancang tapi Dia yang menentukannya,” katanya kepada Metro Ahad.

Zaquan diijabkabul dua hari lalu dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung selepas solat Jumaat di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar disusuli dengan majlis resepsi pada malamnya di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Kedua-dua pasangan sensasi itu menamatkan desas-desus mengenai hubungan cinta mereka apabila mengikat tali pertunangan pada 17 Oktober lalu.

Difahamkan majlis kenduri pihak pengantin lelaki diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi Seremban 30 Januari ini dan pihaknya sudah mengedarkan 500 kad jemputan perkahwinan kepada saudara mara dan rakan termasuk kalangan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan serta akan menyediakan makanan untuk seramai kira-kira 1,500 tetamu.
“Saya harap dan berdoa segala yang dirancang berjalan lancar dan selamat kerana ia hari penting dan detik bersejarah buat saya,” katanya yang mula menonjol ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2004 di Negeri Sembilan.

Dia mengakui sikap saling memahami antara satu sama lain menyebabkan mereka berdua bersetuju mendirikan rumah tangga, malah isterinya itu bukan saja memahami kerjayanya sebagai pemain bola sepak, sebaliknya sentiasa memberikan sokongan padu dan semangat untuk terus maju serta berjaya demi memantapkan reputasi bola sepak negara di persada antarabangsa.

Katanya, sikap keterbukaan Ayu Raudhah menyebabkan dia membuat keputusan untuk hidup bersama dengan artis itu yang juga adik kepada pelakon popular, Rozita Che Wan.

“Saya bersyukur kerana ahli keluarga bukan saja memberi sokongan malah tidak membezakan (menantu) dan ia nyata memberi kekuatan kepada saya untuk mengecapi kebahagiaan hidup dan membina masa depan cemerlang bersamanya.

“Walaupun saya akui berkahwin dengan artis akan berdepan pelbagai kontroversi, tapi saya sudah berbincang dengan Ayu dan kami sedia menghadapinya dengan tabah kerana apa yang penting ialah saling memahami dan kena banyak belajar,” katanya yang lahir pada 3 Ogos 1987.

Apapun katanya, dia akan menjadikan perkahwinan itu serta sokongan padu isteri sebagai sumber motivasi untuk terus maju dan lebih cemerlang dalam bola sepak.

Menurutnya, dia juga yakin perkahwinan itu tidak akan menjejaskan tumpuannya kerana dia (Ayu Rau- dhah) amat memahami kerjayanya yang membuatkan dia amat menyenangi artis jelita itu.

Ayam tambatan Negeri Sembilan yang membantu skuad itu muncul juara Piala Malaysia 2009 selepas menunggu selama 61 tahun apabila menjaringkan 10 gol dalam 11 penampilan turut melahirkan rasa lega kerana persiapan bagi meraikan hari bersejarahnya itu berjalan lancar apabila semua ahli keluarganya termasuk Aidil turut mengiringinya ke Alor Setar.

“Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga memberikan sokongan padu dan mengharapkan majlis ini selesai dengan baik serta selamat,” katanya yang sudah merancang untuk menetap di Seremban selepas berkahwin kerana sudah membeli rumah di bandar itu.

Mengenai persiapan membantu Negeri Sembilan untuk saingan Liga Malaysia bermula 29 Januari ini, Zaquan mengakui sukar baginya beraksi pada saingan awal kerana belum cergas sepenuhnya berikutan kecederaan yang dialami ketika mewakili negara pada Sukan Asia, tahun lalu.

“Setakat ini kecederaan semakin pulih, malah saya sudah mula menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan berharap dapat beraksi lebih awal daripada jangkaan iaitu hujung Mac nanti.

“Buat masa ini fokus utama ialah mendapatkan kembali keyakinan sebelum turun sebagai pemain utama dan kemudian berusaha mendapatkan kembali tempat dalam skuad kebangsaan kerana sangat teruja dengan kejayaan rakan-rakan ketika menjuarai Piala AFF, Disember lalu,” katanya yang mengakui tidak sabar untuk turun beraksi bersama rakan lain sama ada dalam skuad kebangsaan mahupun Negeri Sembilan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...