Johor Bahru: Walaupun terpaksa bergelut untuk layak ke suku akhir, pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad tetap berpuas hati dengan persembahan kesebelasan utama yang mengetepikan Kedah 5-4 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada saingan pusingan kedua, Piala FA di Stadium Darulaman, kelmarin.

Kelibat bekas pemain Getafe CF, Daniel Guiza muncul penyelamat buat skuad yang dibarisi pemain bintang apabila menjaringkan dua gol pada babak kedua dan sepakan penalti terakhir membawa skuad yang bergelar Harimau Selatan mara ke suku akhir dan bakal berdepan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 6 April ini.
Apa pun Fandi tidak meletakkan Guiza sebagai wira sebaliknya menganggap kesebelasan utama yang bangkit pada babak kedua menunjukkan karektor sebagai pemain profesional yang pantang menyerah kalah dan mempamer aksi terbaik sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M).


“Itu yang saya mahu dari pemain. Mereka tidak patah semangat dan terus berusaha untuk memburu kejayaan malah saya anggap perlawanan Johor Darul Takzim-Kedah pada saingan kalah mati itu adalah yang terbaik yang pernah mereka persembahkan kerana walaupun sudah ketinggalan, mereka bangkit dengan semangat juang tinggi.

“Kemenangan itu juga membuktikan pemain Johor Darul Takzim bukan pasukan yang hanya mampu beraksi dalam tempoh 90 minit sebaliknya mereka juga sudah bersedia menempuh perlawanan sehingga tambahan masa.

“Saya puji kesungguhan yang mengekalkan disiplin tinggi sepanjang tempoh perlawanan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Fandi agak terkilan dengan kelemahan benteng pertahanan yang membuka ruang kepada Khyrill Muhymeen Zambri meledakkan dua gol pada babak pertama menyaksikan beliau terpaksa membuat rombakan dengan mengeluarkan Muslim Ahmad dan membawa masuk Kamarul Afiq Kamaruddin bergandingan bersama kapten, Ahmad Tharmimi Saiban.
Selepas ketinggalan 0-2, beliau juga membuat rombakan di posisi tengah apabila membawa masuk Simone Del Nero dan mengeluarkan Nurul Azwan Roya yang tampak kurang berkesan.

Tindakan itu nyata membuahkan hasil apabila Harimau Selatan mula menguasai perlawanan malah kelibat Norshahrul Idlan Talaha walaupun tidak mencipta jaringan tetapi kelicikannya sentiasa menjadi duri dalam daging buat skuad Hijau Kuning.