Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Rabu, 29 Disember 2010

SOROTAN 2010: Panas & Kontroversi Santapan Anak Seni

30 Disember 2010


PETALING JAYA: Kalau tidak ada sesuatu yang hangat dan penuh kontroversi, dunia seni tentu sekali tidak akan bersemi.
Tahun 2010 mencatatkan banyak kisah-kisah panas artis seperti berikut:
DADAH
Artis: Benjy (Khaeryll Benjamin Ibrahim)Tarikh: 11 Mac 2010
Penangkapan anak lelaki seniwati Azean Irdawaty, Benjy, 32, mengejutkan ramai pihak. Pelakon itu ditahan reman berhubung dakwaan penemuan dadah yang bernilai RM652,000 di sebuah kondominium.
Pertuduhan tambahan juga dikenakan terhadap Benjy kerana memiliki dadah jenis methamphetamine juga dikenali "syabu" dan memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada 8.24 pagi, 15 Mac lepas.
Pelakon itu dibebaskan selepas Azean membayar wang jaminan sebanyak RM2,000 namun Benjy ditahan semula kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.
Pada 8 April lalu, Benjy menfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi supaya dia dibebaskan segera daripada ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak permohonan pelakon itu dan dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.
Artis: Saiful Apek (Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff)Tarikh: 13 Jun 2010
Pelawak Saiful, 41, Apek ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja di sebuah apartmen di Subang Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Apek dibebaskan dengan jaminan polis. Akibat tertekan dengan kejadian yang berlaku, Apek hampir membuat keputusan untuk mengundur diri daripada karier seninya.
Artis: Ameng Spring (Wan Aminuddin Wan Ismail)Tarikh: 12 Mei 2010
Penyanyi kumpulan Spring, Ameng dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada awal bulan April. Dia dijatuhkan hukuman dua bulan penjara atau denda RM 4,000.
Ameng membela dirinya dengan menyatakan bahawa dia menjadi mangsa keadaan oleh bekas isterinya, pelakon A.Aida dan suami, sebagai konspirasi.
Kenyataan Ameng membuatkan A.Aida berasa bengang dan dia telah membuka rahsia Ameng yang kerap mengugut pelakon itu. Lantas, A.Aida telah memfailkan kes saman malu terhadap Ameng
SAMAN
Artis: Fahrin AhmadTarikh: 26 Januari 2010
Kenyataan bekas kekasih Fahrin Ahmad iaitu Linda Onn yang menuduhnya sebagai kaki pukul, membuatkan Fahrin mengambil keputusan untuk menyaman deejay radio Suria FM itu jika dia tidak membuat kenyataan memohon maaf dalam tempoh masa tujuh hari yang ditetapkan.
Aktor bertubuh sasa itu telah membuat sidang akhbar berkaitan isu tersebut dan telah mengejutkan media yang hadir apabila dia telah menangis kerana terkilan dengan kejadian yang berlaku.
Bagaimanapun, Linda enggan meminta maaf dan akan tidak kisah jika dirinya disaman dan bersedia untuk bertemu dengan aktor tersebut di mahkamah.
Setelah mendengar nasihat daripada para penggiat seni, Fahrin menarik balik kes tersebut.
Artis: Nabil Raja Lawak (Ahmad Nabil Ahmad)Tarikh: 24 Februari 2010
Pelawak Nabil, 27, hampir disaman kerana mencemuh filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri The Movie.
Penerbit filem tersebut, SDAF Pictures ingin menyaman Nabil sebanyak RM2 juta melalui syarikat guaman Hing & Alvin Advocate & Solicitor
Kes saman tersebut ditarik balik atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
KHALWAT
Artis: Aman ShahTarikh: 16 November 2010
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Tak Seindah Yang Diucapkan, Aman Shah, telah ditangkap khalwat bersama pasangannya, iaitu seorang janda anak dua di Presint 15, Putrajaya. Ketika ditangkap, Aman Shah memberikan alasan mengunjungi wanita tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri.
Penyanyi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dan minta dibicarakan. Manakala, pihak Jabatan Agama islam Wilayah (Jawi) dan pendakwa raya telah bersedia mengemukakan fakta yang berkaitan dengan kes khalwat ini dan akan dibicarakan pada Januari tahun depan.
MASALAH RUMAH TANGGA
Artis: Rita RudainiTarikh: Sejak Februari 2008 hingga sekarang
Kisah masalah rumahtangga pelakon Rita Rudaini, 32, dan bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, tidak pernah surut sejak pasangan itu berkahwin di Songkhla, Thailand.
Rita menjelaskan bahawa pergolakan rumahtangganya berlaku akibat campur tangan pihak ketiga iaitu keluarga Aidil sendiri yang kononnya cuba meleraikan ikatan perkahwinan mereka.
Hal ini membuatkan keluarga Aidil tidak senang dengan kenyataan Rita dan memberitahu sebenarnya Rita yang enggan berbaik semula dengan keluarga tersebut.
Kemudian Aidil menfailkan dua tuntuan iaitu hak penjagaan anak sulung mereka, Aidit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuk). Tindakan Aidil yang tidak dijangka itu membuatkan Rita terkilan dengan perbuatan suaminya itu.
Sehingga kini, pasangan itu belum menemui penyelesaian.
Artis: Jimmy Shanley (Jimmy Shanley Norjahan Saleh)Tarikh: 17 Disember 2010
Rumah tangga pengacara Jimmy Shanley,30, yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah lagi.
Pasangan tersebut mengambil pendekatan itu apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka. Difahamkan buat masa ini Jimmy tinggal di rumahnya di Subang Jaya manakala Nurshuhaila Eliani tinggal dengan keluarganya di Sungai Buloh, Selangor dan pasangan tersebut dikatakan dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangga itu mereka.
Jimmy dan Suhaila turut mendapatkan khidmat kaunseling bagi memulihkan keadaan tetapi setakat ini usaha tersebut tidak mencapai apa-apa perkembangan positif.
GADUH
Artis: Ammar Alfian AzizTarikh: 12 Mac 2010
Pelakon Tari Tirana, Ammar, meluahkan rasa tidak puas hatinya di laman sosial Facebook pada Jumaat, 5 Februari 2010, dengan melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook.
Ammar tidak berpuas hati dengan sikap jurugambar yang meminta kekasih hatinya, Puteri Sarah Liyana bergambar bersama Nabil semasa preview filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Keberanian Ammar akhirnya memakan diri apabila dia diboikot oleh wartawan hiburan.
Setelah diberi kaunseling oleh aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda, artis bermasalah itu akhirnya akur dengan kesilapannya dan menuntut maaf kepada wartawan hiburan melalui sebuah sidang akhbar khas yang bertempat di Dewan Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Artis: Johan Raja Lawak (Mohd.Yazid Lim Mohamad Aziz)Tarikh: 13 Mei 2010
Pelawak, Johan Raja Lawak, 26, cedera di muka sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dibaling dengan gelas kaca oleh seorang pengarah drama, Javerd Nizar dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Taman Sri Pulai, Sikamat, Seremban.
Kejadian itu berlaku sewaktu Johan dan Javerd sedang berbincang mengenai sebuah projek drama yang membabitkan mereka berdua dan bagaimanapun ia bertukar menjadi sebuah pertelingkahan.
Tindakan mengejut Javerd yang membaling gelas tepat ke muka Johan memebuatkan pelawak itu mengambil tindakan menuntut ganti rugi RM1 juta dan Javerd dituntut agar meminta maaf secara terbuka.
Bagaimanapun Javerd telah mendiamkan diri dan Johan nekad untuk meneruskan saman terhadap pengarah itu.
Artis: Erma FatimaTarikh: 23 Oktober 2010
Penulis buku kisah Natrah, Fatini Yaacob dikatakan kurang menyukai karya pengarah Erma Fatima, 40, bagi pementasan teater Natrah tahun lalu.
Fatini tidak suka apabila Erma telah menonjolkan salib besar dalam beberapa babak pada teater tersebut dan ia dikatakan agak negatif untuk ditonton umum.
Kerana menerima kritikan berterusan, Erma hampir menarik diri daripada mengarahkan musim kedua teater tersebut dan kenyataan itu mengejutkan para pelakon yang sedang dalam latihan serta pihak Istana Budaya.
Selepas beberapa hari, pengarah itu menyedari dia tidak patut membiarkan pihak produksinya terkapai-kapai kerana tindakan yang dibuat itu.
CINTA/ KAHWIN
Artis: Zizie EzetteTarikh: 20 April 2010
Selepas kontroversi perkahwinan rahsia aktres Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, pada tahun lalu, pasangan itu menyambung kontroversi mereka apabila kedua-dua mereka mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.
Bagaimanapun, pasangan itu hanya dikenakan bayaran denda oleh pihak mahkamah.
Artis: Nabil/ Irma Hasmi/ UqashaTarikh: Oktober 2010
Setelah dua tahun menyulam cinta, aktres Irma Hasmie nekad membuat keputusan untuk memutuskan perhubungannya dengan pelawak Nabil akibat kecurangan Nabil yang berjaya dihidu Irma.
Kemudian, selepas beberapa hari kenyataan putus cinta Irma, muncul pula gambar-gambar mesra Nabil dan Uqasha yang tersebar di internet termasuklah gambar bercumbuan yang dikatakan mirip wajah mereka.
Bagaimanapun Nabil menegaskan bahawa, Uqasha tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya Uqasha merupakan kenalan baru Nabil.
Artis: Fasha SandhaTarikh: 1 Julai 2010
Aktres kontroversi, Fasha Sandha, 26, akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli pada sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata.
Pasangan itu mula menjadi pasangan kekasih selepas peristiwa Rizal atau dengan panggilan nama Jejai membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter pada 17 Mei 2010.
Pengakuan itu diumumkan selepas Jejai dikatakan menerima gangguan SMS daripada aktres Tiz Zaqyah yang mengajaknya keluar sekitar jam 4 pagi.
Perselisihan faham antara Fasha dan Tiz dapat dihidu pihak media selepas Fasha menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu di laman Twitter miliknya.
Artis: Ayu OIAM (Norayu Damit)Tarikh: 23 April 2010
Juara One In A Million (OIAM) kedua, Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Nashrul Haikal.
Kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air dikatakan Ayu hamil anak luar nikah tetapi Ayu menjelaskan dia senyap daripada kariernya kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan anaknya.
FILEM/TEATER
Artis: Dr. Rozmey (Datuk Dr Che Rozmey Che Din)Tarikh: Awal tahun 2010
Sejak kontroversi filem pertama penerbit filem 2 Alam, Dr. Rozmey, 42, yang dikatakan siap separuh jalan gara-gara penyingkiran pengarahnya, Hairie Othman dan digantikan dengan pengarah lain, ada saja kenyataan tidak logik yang dibuat oleh Dr. Rozmey yang juga merupakan tauke produk kurus badan, Jus Mate.
Pada mulanya penerbit itu meletakkan sasaran luar biasa terhadap filem sulungnya, 2 Alam untuk mencapai kutipan sebanyak RM12 juta.
Malah dia turut mengatakan bahawa dia tidak memerlukan Finas untuk menayangkan filemnya itu di pawagam. Bagaimanapun dia terpaksa akur dengan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh Finas tentang hal-hal berkaitan dengan wajib tayang.
Kemudian, Dr Rozmey menukar sasarannya bahawa filem sulungnya itu akan berjaya meraih kutipan sebanyak RM40 juta.
Namun, selepas tayangan 2 Alam bermula dari 18 November lalu, kutipan filem tersebut hanya mampu mencapai RM430,000 dan sejak itu, Dr rozmey terus mendiamkan diri.
Artis: Fauziah NawiTarikh: 28 Sepetember 2010
Filem kisah hidup primadona Zaiton Sameon berjudul Zaiton-Ceritaku arahan Fauziah Nawi yang sudah siap penggambarannya dikatakan tidak berkualiti dan gagal memenuhi kriteria sesebuah filem oleh penerbit filem tersebut, Burhanuddin Md Radzi.
Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd memberitahu dia kecewa dengan mutu pengarahan Fauziah Nawi (gambar) dan berhasrat melakukan penggambaran semula keseluruhan filem berkenaan.
Bagaimanapun, Fauziah terus menyiapkan suntingan filem Zaiton-Ceritaku biarpun didakwa tidak berkualiti oleh penerbitnya
Artis: Zizan NinTarikh: 10 Disember 2010
Pelakon Zizan Nin tidak ditawarkan menyertai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir(MTM) musim kedua selepas pihak pengurusannya dikatakan menuntut bayaran yang tidak munasabah iaitu sebanyak RM40,000 untuk membawa watak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penerbit teater muzikal itu, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya terkejut apabila syarikat pengurusan artis tersebut, Aquila Emas, meminta bayaran sedemikian yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Zizan, Aquila Emas Sdn Bhd, memberi alasan pihaknya meminta bayaran setinggi itu kerana mahu menolak tawaran itu atas beberapa sebab.
Selain itu, pihak produksi teater muzikal itu mengeksploitasi Zizan dengan menjual poster, cekera padat lagu dan buku autograf teater yang pertama tanpa memberikan apa-apa royalti kepada pelakon itu.
Selain kontroversi dan kisah panas, dunia hiburan tidak kurang juga dihujani dengan pencapaian yang membanggakan di kalangan artis. Ikuti pencapaian dan kejayaan mereka sepanjang 2010 dalam mStar Online esok.

Badi 14 tahun berakhir

30 Disember 2010



Pemain Malaysia, Safee Sali (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan (tengah) dan Safiq Rahim selepas menjaringkan gol sewaktu menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, malam tadi. – REUTERS



JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya 
melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.
Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan

PM, TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara

30 Disember 2010



Skuad bola sepak kebangsaan meraikan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Gelora Bung Karno Jakarta, malam tadi. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (belakang, kiri) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa (lima dari kiri). - UTUSAN/SHAHRIL AZMAN ZAIN




KUALA LUMPUR 29 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.
“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.

“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Safee tak sangka

30 Disember 2010



SAFEE bangga dengan gelaran sebagai penjaring terbanyak kejohanan.




JAKARTA – Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali mengakui yang dia tidak menyangka akan membawa pulang trofi selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010.
Safee, 26, gagal menjaringkan sebarang gol ketika aksi peringkat kumpulan di sini dari 1 hingga 7 Disember lalu.
Namun, penyerang Selangor kelahiran Kajang itu meledak dua gol ketika separuh akhir pertama menewaskan Vietnam 2-0 dan dua gol ketika final pertama menewaskan Indonesia 3-0 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Pada final kedua di sini malam tadi, Safee memastikan gelaran penjaring terbanyak menjadi miliknya apabila menjaringkan satu gol biarpun Malaysia tewas 1-2.
“Sepanjang sebulan kejohanan ini, saya sentiasa berusaha keras untuk meningkatkan prestasi.
“Apa pun, ini semua terhasil menerusi usaha dan kerjasama sepasukan yang telah membantu saya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan ini,” kata Safee pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Safee kini berstatus peledak paling berbisa di Asia Tenggara mengetepikan penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang sekadar mengumpul tiga gol di tempat kedua senarai penjaring terbanyak.
Bagi anugerah pemain paling bernilai (MVP) untuk kejohanan kali ini, ia menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarpun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti malam tadi.
Firman membawa pulang wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM30,951).
Sementara itu, selaku juara, Malaysia berjaya meraih wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM309,510) manakala Indonesia yang menjadi naib juara menerima habuan AS$50,000 (RM154,755).
Sepanjang lapan edisi kejohanan, hanya empat pasukan pernah bergelar juara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam dan terbaru Malaysia.

Penantian 14 tahun berakhir

30 Disember 2010



PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.




JAKARTA - Setelah menanti selama 14 tahun, Malaysia akhirnya berjaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menerusi agregat 4-2.
Biarpun tewas 1-2 kepada Indonesia pada final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam tadi, Malaysia telah menang 3-0 pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Kejuaraan tersebut mengesahkan status Malaysia sebagai raja bola sepak Asia Tenggara setelah saingan peringkat bawah 23 tahun iaitu Sukan SEA turut dijuarai Malaysia di Laos pada 2009.
Kecemerlangan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada separuh masa pertama serta jaringan Mohd. Safee Mohd. Sali pada awal babak kedua menjadi detik pengubah perlawanan malam tadi.
Isu laser yang sering diperbesarkan Indonesia sebelum ini akhirnya terpalit kepada mereka sendiri apabila Khairul Fahmi tiga kali diganggu pancaran laser ke arah mukanya.
Ia bermula apabila Indonesia memperoleh sepakan sudut pertama pada minit kelapan diikuti ketika sepakan percuma pada minit ke-12 dan satu lagi sepakan sudut seminit kemudian.
Namun, Khairul Fahmi membuktikan dirinya tidak selembik penjaga gol Indonesia, Markus Harison yang 'alah' dengan pancaran laser ketika aksi final pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Permainan hampir berubah menjadi milik Indonesia apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 setelah bola terkena tangan Sabre Mat Abu ketika berlaku pergelutan di depan pintu gol.

Selasa, 28 Disember 2010

Apa Kata GUA 2010 : 'Cat-Fight' Paling Hot

29 Disember 2010



Tahun 2010 hampir melabuhkan tirai. Selain diwarnai dengan pelbagai kisah suka duka artis-artis tempatan, industri hiburan tanah air turut diwarnai dengan pertengkaran, perselisihan faham, berbalas-balas kenyataan di akhbar dan laman twitter, tidak kurang juga yang terlibat dalam pergaduhan yang pastinya cukup panas dan sensasi. Berikut merupakan 5 cat-fight paling hot yang menjadi pilihan Apa Kata Gua 2010.




1) Fasha Sandha vs Nora Danish
Perang dingin antara kedua artis wanita cantik ini mula tercetus apabila Fasha Sandha dikatakan menjadi punca penceraian Nora dengan bekas suaminya, Jejai. Walaupun sudah dua tahun bercerai, nampaknya pelakon yang terkenal menerusi drama Puteri ini masih belum bersedia untuk memaafkan Fasha.

Ini terbukti apabila Nora dengan beraninya telah menulis ‘Boo booo boooo’ di Twitter miliknya pada malam Anugerah Bintang Popular 2009 awal tahun ini. Sesiapa saja yang melihat sudah tentu dapat meneka sindiran itu telah ditujukan kepada Fasha, apatah lagi ia berlaku tidak lama selepas insiden Fasha di ‘boo’ dalam majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Perang Twitter antara mereka berterusan apabila Fasha tidak berdiam diri dan membalas balik kenyataan Nora.

2) Rita Rudaini vs Keluarga Aidil Zafuan

Pertelingkahan antara Rita dan keluarga mertuanya masih belum menemui jalan penyelesaian malah dilihat semakin tegang. Umum mengetahui kemelut hubungan antara mereka tercetus gara-gara keluarga mertuanya tidak merestui perkahwinan Rita dengan anak mereka, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Ekoran persengketaan ini, rumahtangga Aidil dan Rita telah menjadi mangsa. Mahligai yang dibina sejak dua tahun lalu kini dilanda masalah sehingga membawa ke mahkamah, di mana Aidil telah menfailkan permohonan sulh, memohon hak penjagaan anak secara kekal (hadhanah) dan menuntut Rita kembali taat (nusyuz) kepadanya.

Rita yang kini sedang hamil lima bulan dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Airit Rayyan mengakui agak tertekan dengan perkara yang menimpa rumahtangganya. Bagaimanapun, difahamkan, hubungan antara Rita dan Aidil kini kembali jernih.

3) Marion Caunter vs Dato’ SM Faisal

Satu lagi pergaduhan yang berlaku menerusi laman sosial, Twitter, kali ini melibatkan pergaduhan antara pengacara E! News Asia, Marion Rose Caunter dengan usahawan terkenal yang juga bakal abang iparnya, Dato’ SM Faisal.

Perselisihan faham itu tercetus gara-gara Marion telah mengumumkan kepada media mengenai majlis perkahwinannya dengan SM Nasaruddin, adik SM Faisal. Menerusi laman Twitter-nya, SM Faisal telah menyindir Marion dengan mengatakan adakah Marion terdesak memberitahu mengenai majlis perkahwinan dengan adiknya sedangkan perkara ini sepatutnya dilakukan oleh pihak lelaki.

Walaupun berlakunya perselisihan faham dengan SM Faisal, perkara ini tidak menghalang niat suci mereka apabila Marion dan SM Nasaruddin telah selamat diijabkabulkan pada 16 Disember lalu.

4) Norman KRU/Syamsul Yusof vs Mamat Khalid/Ahmad Idham/Farid Kamil

Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) mencetuskan kontroversi apabila ada beberapa pihak tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh juri. Ahmad Idham, Mamat Khalid dan Farid Kamil masing-masing telah mempertikaikan tentang kemenangan filem terbitan KRU Studios, Magika sebagai Filem Terbaik dan Syamsul Yusof sebagai Pengarah Terbaik.

Bukan kerana tidak dapat menerima kekalahan, namun mereka merasakan keputusan juri tidak adil dan berat sebelah. Ahmad Idham sendiri membuat kenyataan FFM masih berada di takuk lama manakala Mamat Khalid telah meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap juri yang dianggapnya tidak profesional.

Syamsul pula mempersoalkan dari mana Farid mendapat fakta mengatakan satu Malaysia tidak menyokong kemenangannya dan menganggap kenyataan pelakon Lagenda Budak Setan itu sebagai satu provokasi murahan.

5) Johan Raja Lawak vs Pengarah

Insiden pelakon, pelawak serta pengacara Johan Raja Lawak diserang oleh pengarah, Mohd Javed Mohd Nizar di sebuah restoran di Sikamat, Negeri Sembilan ternyata menggemparkan industri hiburan tanah air.

Javed dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap pelawak itu yang sering datang lewat ke lokasi penggambaran. Pertemuan itu bertukar menjadi kecoh apabila Javed bertindak membaling gelas kaca kepada Johan sehingga mengakibatkan kecederaan di atas kening mata kiri pelawak terbabit.

Walaupun telah memaafkan Javed, namun Johan tetap meneruskan hasratnya untuk menyaman pengarah tersebut sebagai memberi pengajaran kepada Javed dan juga orang lain agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

Isnin, 27 Disember 2010

SOROTAN 2010 : Artis Kahwin, Bertunang & Dapat Anak

27 Disember 2010


PETALING JAYA: Tahun 2010 yang akan melabuhkan tirainya memberi kenangan yang terindah buat insan-insan seni apabila mereka melangkah ke alam bahagia dengan perkahwinan, pertunangan dan tidak kurang juga yang menerima cahaya mata.
Tentunya kehadiran 2011 akan memberi sinar baru buat mereka agar apa yang diazamkan dalam hidup akan terlaksana.
Kenangan indah sepanjang tahun ini bermula seperti berikut:
PERTUNANGAN
Memey dan Norman.
1. MEMEY SUHAIZA & NORMAN HAKIM: Pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza telah mengikat tali pertunangan pada 13 September lalu di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. Pasangan ini belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka dan menjangkakan bakal bernikah selewat-lewatnya pada awal tahun depan.
2. AYU RAUDHAH: Pelakon Ayu Raudhah, 25, selamat bertunang dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, dalam satu majlis merisik secara tertutup dan penuh rahsia yang diadakan di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya pada 17 Oktober lalu.
Pasangan itu bukan sengaja merahsiakan tentang majlis tersebut sebaliknya menghormati keputusan keluarga Zaquan ekoran kontroversi yang baru sahaja terjadi melibatkan aktres Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kembar Zaquan.
Mereka dijadual bernikah pada 20 Januari 2011 di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setarm Kedah manakala majlis resepsi akan menyusul pada 21 Januari 2011 di lokasi yang sama.
Sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.
Nina dan Noh.
3. MIZZ NINA & NOH (HUJAN): Teka teki gosip pertunangan pasangan Mizz Nina atau Shazrina Azman,30, dan penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh,26, terjawab apabila mereka membuat pengumuman telah pun bertunang pada 6 November lalu.
Majlis pertunangan tersebut diadakan di rumah keluarga Mizz Nina di Ampang Jaya, Kuala Lumpur yang dihadiri kira-kira 50 orang sanak-saudara termasuklah keluarga Noh dari Miri, Sarawak.
Seperti Ayu Raudhah dan Zaquan, pasangan ini turut merahsiakan majlis pertunangan tersebut untuk menghormati permintaan keluarga yang inginkan majlis dilakukan secara privasi.
Pasangan ini bakal dinikahkan pada 1 Julai 2011 sempena tarikh lahir Nina. Kemudian majlis resepsi bakal berlangsung pada 3 Julai 2011 untuk keluarga dan tetamu-tetamu kehormat di Hotel Shangri-La, pada 6 Julai 2011 untuk rakan-rakan dan para media di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur dan resepsi ketiga di Sarawak pada 15 Julai 2011.
4. SITI SARAH & SHUIB (SEPAH): Sebelum ini, dia pernah putus tunang dengan jejaka berasal dari New Zealand, Mohd Harith Fuad Robinson.
Kini penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 26, telah meninggalkan kisah silamnya. Yang penting dia sedang berbahagia dengan tunangnya, Shahmira Muhammad, 26, atau Shuib (Raja Lawak) selepas mereka melangsungkan pertunangan pada 16 November lalu di kediaman keluarga Sarah di Kuala Selangor.
Bukan sengaja menyorok berita pertunangannya daripada pihak media sebaliknya penyanyi lagu Kesetiaan ini menerima kejutan daripada pihak Shuib.
Pasangan ini belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka kerana sibuk dengan karier seni masing-masing.
Serina dan Gavin.
PERKAHWINAN
1. SERINA REDZUAN: Pelakon Serina Redzwan,27, memulakan tahun baru 2010 dengan perkahwinan apabila dia dan Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar,33, disatukan dengan sekali lafaz sebagai suami isteri.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Majslid wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 1 januari 2010. Serina menerima wang hantaran sebanyak RM30,000 dan 11 dulang hantaran.
Kedua-dua mereka telah menimang cahaya mata lelaki bernama Tristan Tareef pada 13 September lalu.
2. SHIDEE: Perkahwinan penyanyi popular era 80-an Shidee, 51, dan Siti Fairunnisa Aziz, 22, khabarnya tidak direstui oleh ibu mertuanya, Jamaliah Hassan.
Lantaran itu, Jamaliah telah membuat tiga laporan polis sebelum pasangan berbeza usia 29 tahun itu dinikahkan pada 1 Februari lalu di pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu dengan berwalikan bapa saudara Siti Fairunnisa.
Diddy dan Allen.
Bagaimanapun, kisah kontroversi ‘cinta tiga segi’ Shidee membawa rezeki pada penyanyi ini bila dia ditawarkan menjadi duta produk.
3. DIDDY HIRDI: Penyanyi Syamsul Hirdi Muhid atau lebih dikenali sebagai Diddy, 25, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Allen Nor Azah Musa di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor Baru, pada 6 Februari lalu.
Dengan dua kali lafaz, pasangan mempelai yang telah berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mengikat tali pertunangan selama empat tahun kini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM300 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM10,000.
Pasangan ini dijangka bakal menerima kelahiran bayi perempuan pada 12 Januari 2011.
Imuda dan isteri.
4. IMUDA: Episod kahwin diteruskan dengan pelakon Imuda, 50, yang mengakhiri zaman duda menikahi adik angkatnya Zabarina Haja Mushadi Ali, 28, pada 20 Februari lalu di sebuah masjid di Pulau Pinang.
Kini, isterinya sedang hamil lebih lima bulan.
Umie Aida dan suami.
Imuda pernah mendirikan rumah tangga pada 1994 dengan Rozalina Rosli dan bercerai sepuluh tahun kemudian. Pada 23 Disember 2008 bekas isterinya itu meninggal dunia akibat barah payu dara.
5. UMIE AIDA: PELAKON jelita, Umie Aida, 37, melangsungkan pernikahannya dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac lalu di Masjidil Haram, Mekah.
Zizan dan Fazilah.
Suami Umie merupakan seorang duda dan mempunyai dua orang anak manakala Umie mempunyai dua orang anak angkat.
5. ZIZAN NIN: GENAP tiga bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada personaliti ntv7, Fazilah Hani Harun (Hani), 30, pada 19 Mac lalu, di Masjid Negara.
Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Perkawinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM651.
6. AIDA (GADIS MELAYU): Juara Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau Aida, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, 28, dengan sekali lafaz di rumah keluarga pengantin perempuan di Bandar Country Homes, Rawang, pada 4 Jun lalu.
Aida dan Saiful.
Mohd Saiful dan Aida dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Zali Ismail, 59, dengan mas kahwin RM6,000.
7. AZIZ M. OSMAN: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21, pada 6 Jun lalu di Masjid Negara.
Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee.
Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan.
Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5.
8. WAFA ABDUL KADER: Pelakon dan penerbit Wafa Tan Sri Abdul Kader, 44, sah bergelar isteri kepada Tajul Faizal Tamimuddin, 44, pada 11 Jun lalu di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.
Bagi Wafa yang bergelar ibu tunggal selama 10 tahun, ini merupakan perkahwinan ketiganya dan dikurniakan empat orang anak lelaki sementara Tajul pula berkahwin buat kedua kalinya selepas bercerai setahun lalu dengan isteri pertamanya dan dikurniakan dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Namun anak lelakinya itu meninggal dunia pada tahun 2005.
9. HARITH ISKANDER: Sekian lama membujang, kini pengarah, pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Harith Iskander Musa sah bergelar suami kepada doktor dan model sambilan, Jezamine Lim di Kota Damansara, pada 12 Jun lalu.
Hanya dengan sekali lafaz, Harith Iskander, 44, dan gadis berdarah kacukan Cina dan India, Jezamine, 27, yang baru memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Shah Alam, Selangor, pada 12 Mei lalu berjaya disatukan walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga masing-masing.
Dalam majlis serba ringkas itu, pihak lelaki memberikan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin Carat Club serta wang hantaran sebanyak RM50,000.
10. AIDA ARIS: Agak berlainan dengan aktres Aida Aris dengan Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain apabila mereka memilih bulan puasa untuk melangsungkan perkahwinan.
Dengan sekali lafaz, Aida, 38, sah bergelar isteri kepada Husfarid, 38, di kediaman pengantin perempuan pada pukul 10.45 pagi di Taman Sierra Ukay, Hulu Kelang pada 4 September lalu.
Husfarid merupakan Ketua Pramugara MAS dan telah hidup menduda selama tiga tahun. Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak.
Bagi Aida yang menjanda selama lima tahun, ini merupakan perkahwinan keduanya dan tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan produser program, Bob Azrai.
11. JIMMY SHANLEY: Dengan tiga kali lafaz, pengacara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Jimmy Shanley Norjahan Saleh selamat diijabkabulkan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy pada 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina pasangan ini semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah sejak beberapa minggu lalu.
Menurut maklumat yang diterima mStar Online, pasangan tersebut mengambil pendekatan berkenaan apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.
12. SHEIKH MUSZAPHAR: Dengan sekali lafaz, Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Dr Halina Mohd Yunos pada 10 Oktober lalu.
Majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dilakukan sendiri oleh bapa Dr. Halina, Lt Kol (B) Mohd Yunos Mohd Ali, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali.
Menariknya, 100 angkasawan dari 35 negara juga tidak ketinggalan untuk menghadiri majlis itu.
13. AQASHA: Penyanyi dan pelakon Firdee Aqasha Rosli, 28, sah bergelar suami kepada Noor Baizura Mohd Sabri, 27, dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan berlangsung di Lake Fields, Sungai Besi,Kuala Lumpur. Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80, wang hantaran RM20,000 dan seutas rantai emas putih.
14. DIA FADILA: Tarikh perkahwinan pada 10 Oktober lalu turut dikongsi oleh penyanyi Dia Fadila. Dengan sekali lafaz, Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 26, sah bergelar isteri kepada Redza Hj Abdullah Sanusi, 33, dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
15. RAJA FARAH: Bagaikan suatu keajaiban yang besar dirasai oleh pasangan pengantin baru, Raja Farah Raja Aziz, 22, dan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 25, setelah selesai diijabkabulkan.Pasangan ini dinikahkan pada 12 November 2010, Jumaat, di Tropika, di sini.Beberapa hari menjelang perkahwinan, pasangan ini dilanda gosip hamil anak luar nikah. Bagaimanapun, mereka menafikan dakwaan tersebut.
16. ELYANA: Pasangan pengantin baru, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal, 23, dengan pasangannya Khiarul Anuar Husin, 35, terkejut dan berasa terharu apabila pernikahan dilakukan sendiri oleh bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin.
Mengikut perancangan awal, akad nikah itu sepatutnya dilakukan oleh Imam Masjid Al-Akram, Kg Datuk Keramat, namun dia terkejut apabila bapanya tampil mengambil tanggungjawab tersebut pada saat-saat akhir.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada 19 November lalu di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
17. ZAIBO: Agak mengejutkan industri seni apabila menerima khabar pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo, 54, menamatkan zaman bujangnya dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, pada 3 Disember lalu.
Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.
18. MARION COUNTER: Pengacara popular Marion Counter berkahwin dengan pasangannya pewaris Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin di kediaman lelaki itu di Bukit Tunku pada 16 Disember lalu.
Difahamkan, majlis pernikahan tersebut diadakan secara tertutup dengan kehadiran keluarga serta teman-teman rapat sahaja.
19. ADAM AHMAD: Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Pergi Jua, Adam Ahmad, akhirnya menamatkan zaman bujangnya di usia 46 tahun dengan seorang janda, Norliza Ayat, 42 di kediaman penyanyi itu, pada 19 Disember lalu.
Adam yang sah bergelar suami kepada Norliza itu dengan dua kali lafaz turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM300, wang hantaran sejumlah RM3100 serta 13 dulang dibalas 15.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Adam dan kedua buat Norliza yang telahpun memiliki dua orang anak, Mohd Radhi, 25 dan Mohd Taqbir, 17.
20. BIENDA: Pernikahan penyanyi Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 25, menimbulkan tanda tanya apabila dia masih berahsia mengenai tarikh pernikahannya dengan produser program di Primeworks Studios, Kamarul Zariman Abd Rahman.
Alasan Bienda, dia merahsiakan tarikh pernikahan dan lokasi majlis akad nikah kerana memenuhi permintaan keluarga memandangkan majlis itu dibuat secara tertutup.
Bagaimanapun, Bienda tidak lokek berkongsi maklumat lain mengenai majlis pernikahannya di mana Kamarul atau dipaggil Boy sah bergelar suami kepada Bienda selepas dua kali lafaz dengan mas kahwin RM80.
Bienda turut menerima wang hantaran sejumlah RM11,111.11 daripada pihak lelaki.
21. CAMELIA: Penyanyi dan hos popular program Casa Impian, Dayang Nur Camelia Abang Khalid atau lebih dikenali dengan nama Camelia khabarnya telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan sekitar awal tahun lalu.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan beliau, suami baru Camelia itu bukanlah Wira Tun Daim Zainuddin yang sebelum ini dikaitkan dengannya.
Sumber itu tidak menafikan bahawa hubungan rapat antara Camelia dengan anak bekas menteri kewangan itu menjadi punca orang mengatakan penyanyi kelahiran Sarawak itu berkahwin dengannya.
ANAK PENYERI HIDUP
1. CATRIONA ROSS: Catriona Ross menerima kelahiran bayi pertamanya pada 12 Mac 2010 selepas berkahwin dengan Shaharuddin Mokhtaruddin. Anak mereka diberi nama Sephia Rania Ross Eddin.
2. EDRY ABDUL HALIM: Komposer, pengarah dan penyanyi terkenal, Edry Abdul Halim menyambut kelahiran anak keempatnya, Elya pada 7 Jun lalu.
Edry berkahwin dengan Milia Mohamad, 35, dan dikurniakan anak bernama Emil, 10, Edylia, 7, dan Emery, 3.
3. SERINA REDZUAWAN: Pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan, 26, selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 13 September lalu.
Serina dan suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar menamakan anak sulung mereka Tristan Tareef O'luanaigh yang bermaksud 'lain dari yang lain' dalam bahasa Arab.
4. ASHRAF SINCLAIR: Pelakon Ashraf Sinclair, 31, telah dikurniakan anak lelaki pada 22 September lalu. Dia dan isterinya, penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari,27, memberikan nama Noah kepada bayi sulung mereka itu.
5. AHMAD IDHAM: Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzzri mendapat anak lelaki apabila isterinya Jameah Abdul Aziz selamat melahirkan bayi berkenaan di Hospital Gleanigles Intan, Ampang, Selangor pada 6 Oktober lalu.
Pasangan ini turut mempunyai tiga anak lain iaitu Ahmad Firdaus, 9, Ahmad Aydeel, 5, dan Kintan Myra, 3.
6. ANNE NGASRI: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, selamat melahirkan bayi perempuan pada 21 Oktober lalu di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.
Anne yang telah bercerai dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun lalu turut dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri, 1.
7. SHAMRIN (FOTOGRAF): Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang.
Hasil perkahwinan dengan Jazriatul Akma, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan.
Semoga kebahagiaan mereka akan berkekalan buat selama-lamanya sementara bagi yang mendapat cahaya mata, jagalah amanah itu dengan sebaik mungkin.
Esok, jangan lupa menatap mStar Online untuk mengikuti kisah yang mengguris hati sepanjang 2010 iaitu penceraian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...