Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 31 Oktober 2010

Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang

31 Oktober 2010


PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan berpelukan di tengah padang sebagai meraikan kejayaan bersejarah merangkul Piala Malaysia manakala dua pemain Negeri Sembilan tunduk kecewa selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
 

KUALA LUMPUR - Kehilangan bek tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.

Tanpa menyembunyikan kecewa namun akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.

"Prestasi Negeri Sembilan kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.

"Perlawanan ini jelas menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda khususnya kecederaan tonggak," katanya.

Gol kemenangan Badri Radzi yang menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.

Malah setelah kehilangan penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K. Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.

Negeri Sembilan juga sebenarnya mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya bersendirian pada babak pertama.

Namun Wan Jamak wajar turut berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka, Shahurain dan Idris.

Tidak keterlaluan jika anak jati Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1, tahun lalu.

Namun corak pantas dan kemantapan pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Sabtu, 30 Oktober 2010

Aidil Zafuan sedia kemudi skuad NS

30 Oktober 2010


  PASUKAN Negeri Sembilan menjalani   latihan terakhir untuk  aksi final  Piala Malaysia di Stadium Nasional, semalam. Gambar kecil, Mohd Aidil Zafuan.
PASUKAN Negeri Sembilan menjalani latihan terakhir untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, semalam. Gambar kecil, Mohd Aidil Zafuan.
Galas misi pertahan gelaran juara kali kedua berturut-turut 

PENGGANTI kapten, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, sudah bersedia mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua pasukan Negeri Sembilan, menggantikan Rezal Zambery Yahya yang sekadar diletakkan pada bangku simpanan pada kali ini ekoran kecederaan pada saingan final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Aidil yang memegang peranan sama bersama skuad Bawah 23 kebangsaan, percaya tanpa Rezal sekalipun, ia tidak akan menjejaskan pasukannya selepas melihatkan kemampuan skuad pimpinan Wan Jamak Wan Hassan itu ketika menangani ketiadaan kembarnya, Zaquan Adha, sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

“Kami main dengan 11 pemain, tanpa Zaquan kami masih boleh melayakkan diri ke final. Sekalipun kami mempunyai masalah dengan pemain yang cedera, kami masih boleh menggantikannya dengan dua atau tiga pemain muda lain pada posisi sama, jadi kami tidak begitu risau,” katanya. 

Aidil juga tidak kisah akan tekanan yang menyelubungi setiap pemain pada perlawanan akhir kerana ia mengelakkan mereka daripada bersikap terlalu yakin. 
“Memang tekanan ada pada setiap final. Jika tidak ada tekanan, kita akan menjadi terlebih yakin. Mempertahankan gelaran lebih susah daripada meraihnya buat kali pertama.” 

Bagi Aidil, tiada pemain lawan akan diberikan perhatian khusus malam ini, dengan pertahanan tengah itu menyedari ancaman boleh hadir daripada semua pemain Kelantan, bukan hanya Norshahrul Idlan Talaha, Hairuddin Omar atau Akmal Rizal Rakhli semata-mata

Masa terbaik untuk cipta sejarah

30 Oktober 2010

BUDAYA 'jogho' (juara) perlu dimulakan skuad Kelantan dengan memenangi final Piala Malaysia tahun ini jika mahu menjadi pasukan gergasi seperti Selangor, kata ketua jurulatihnya, B Sathianathan. 

“Sekali sejarah tercipta, ia akan menjadi lebih mudah untuk generasi seterusnya mengikut jejak langkah,” kata Sathia. “Jika Kelantan menang kali ini, saya percaya pembangunan bola sepak di Kelantan akan meningkat mendadak.


“Ia (kejuaraan) bukan semata-mata untuk kegemilangan tahun tertentu, tetapi bakal menjadi pemangkin kepada kesinambungan sukan bola sepak di Kelantan. Berdasarkan pengamatan saya sejak berada di sini, budaya bola sepak di Kelantan cukup kuat.
“Saya percaya satu hari nanti Kelantan mampu melahirkan ramai pemain berkualiti untuk mewakili negara.” 

Kelantan memperoleh peluang kedua merangkul Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil malam ini apabila bertemu lawan sama Negeri Sembilan yang menewaskan mereka 3-1, tahun lalu. 

Menurut Sathia, peluang kali ini adalah yang terbaik buat Kelantan untuk mencetus kejuaraan memandangkan barisan pemain kali ini rata-rata pernah merasai pengalaman final tahun lalu. 

“Saya yakin kali ini mereka dapat mengatasi perasaan gugup beraksi di pentas final,” katanya. 
Pada final tahun lalu, Kelantan lambat menguasai permainan sehingga menyebabkan Negeri Sembilan mengambil kesempatan menerusi gol Shahurain Abu Samah (minit ke-18), Hairuddin Omar (m46) dan penalti Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (m59) manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Indra Putra Mahayuddin menerusi sepakan percuma pada masa tambahan. 

“Jika pemain bermain seperti biasa dan pantas menyesuaikan diri dalam tempoh 10 minit pertama, saya yakin Kelantan mampu membawa pulang trofi berprestij itu kali ini,” kata Sathia yang mula mengambil alih Kelantan pertengahan tahun lalu. 

“Kami turun sebagai underdog, jadi tekanan tentunya lebih berat ke atas penyandang juara Negeri Sembilan. Walaupun mereka cuba menghilangkan tekanan itu dengan mengatakan perkara sama (underdog), hakikatnya mereka adalah juara bertahan dan pastinya menjadi pilihan utama.”

Aidil azam juara lagi

30 Oktober 2010

GIGIH...skuad Negeri Sembilan menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.
GIGIH...skuad Negeri Sembilan menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.

KETIADAAN Rezal Zambery Yahya dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan di final Piala Malaysia malam ini memberi ruang buat Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak menggalas cabaran berat itu.
Pemain pertahanan itu mengakui tugas berat menanti mereka, namun tiada mustahil kerana menganggap kekuatan Negeri Sembilan terletak kepada pasukan, bukan individu. 

“Sebelas pemain akan menggalas tanggungjawab di atas padang, bukan seorang dua. Tanpa Rezal sekalipun kami yakin mampu menang. Selama ini tanpa kelibat Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pun kami mampu melangkah ke final,” kata Aidil.

Dia menganggap persefahaman skuad Rusa cukup serasi dan masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Biarpun Negeri Sembilan bergantung kepada seorang penyerang malam ini, Aidil tetap optimis skuad itu mampu mendapatkan jaringan. 

“Bagi saya siapa jaringkan gol tidak penting kerana dalam bola sepak bukan mengharapkan seseorang. Ia hasil kerjasama semua pemain untuk mencipta dan menjaringkan gol. Pada saya pasukan ini menjadi hebat kerana satu pasukan, bukan kerana individu,” kata Aidil lagi. 

Malah, ketua pasukan Negeri Sembilan itu mahu rakan sepasukan tidak gentar dengan jentera serangan Kelantan, biarpun Hairuddin Omar yang menjaringkan satu gol buat mereka di final tahun lalu kini menjadi musuh. 

“Saya tidak kisah Hairuddin kini bersama Kelantan. Kami tidak takut tapi saya mahu rakan sepasukan sedar kekuatan kekuatan Kelantan juga berdasarkan satu pasukan. Mereka mampu pamer corak permainan terbaik ketika dalam kedudukan selesa,” kata Aidil lagi

Indra, Aidil tagih komitmen tinggi

30 Oktober 2010

KUALA LUMPUR - Indra Putra Mahayuddin dan Aidil Zafuan Radzak pernah sama-sama menyarung jersi negara di pentas antarabangsa dan cukup arif dengan asam garam bola sepak biarpun masing-masing bakal bertembung sebagai dua pihak yang bertentangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu akur dengan kesulitan jurulatih kedua-duanya dalam menampilkan barisan terbaik dalam merebut Piala Malaysia pada edisi ke-44, namun lebih yakin bahawa hanya prestasi malam ini yang bakal lebih dikenang peminat dan bukannya atas alasan siapa yang turun tanpa pemain bintang.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Kalau tiada yang utama (Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam), yang kedua pun masih tidak kurang hebatnya dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan jurulatih dengan baik. Yang penting kami kena fokus dan belajar daripada pengalaman perlawanan akhir tahun lalu,'' katanya.

Indra Putra pernah menjulang Piala Malaysia 2000 dengan Perak tetapi tuahnya itu belum berulang ketika berhijrah ke Pahang dan Selangor, malah sempat menjaringkan gol tunggal Kelantan yang dikecewakan Negeri Sembilan 3-1, tahun lalu dengan jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha.

''Saya akui sedikit sebanyak kehilangan tonggak senior (Rezal Zambery Yahya) pasti dirasai pasukan malah tanpa Zaquan (Adha Radzak, adik kembarnya), kami masih mara sejauh ini kerana kami sentiasa percayakan kerja sepasukan dan tidak terlalu bergantung kepada seseorang. Apa yang turut akan diutamakan (malam ini) ialah mengelakkan sebarang kesilapan,'' jelas Aidil Zafuan.

Indra Putra yang dihampakan Rezal dan rakan sepasukan Si Rusa 3-1 di gelanggang sama, tahun lalu, mengakui faktor pengalaman masih memainkan peranan dalam persembahan mereka malam ini, namun ia turut mampu ditampung dengan komitmen tinggi setiap pemain dalam memastikan Kelantan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal pada 1955 dan 1970.

"Mungkin masih yang beranggapan bahawa tahun lepas kami kalah kerana ramai pemain muda yang belum pernah merasai pengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia apatah lagi dengan dikelilingi ribuan penyokong sendiri dan lawan yang jumlahnya luar biasa.

"Kesilapan memang mudah berlaku dalam perlawanan segenting ini tetapi ingatan saya kepada rakan sepasukan ialah jangan terlalu takut jika tersilap kerana ia bakal mengundang kesilapan lebih besar, cuma sentiasa kena fokus permainan,'' kata Indra Putra.

Sementara itu, seorang lagi tonggak senior Piala Malaysia yang sudah enam kali merasai enam perlawanan akhir kejohanan berprestij kebangsaan ini, Shukor Adan secara berseloroh berkata, kelainan kali ini mungkin Hairuddin Omar bermain dengan Kelantan pula berbanding pada tahun lalu kerana bersama kami, Negeri Sembilan.

"Saya harap pasukan kami mengekalkan momentum permainan seperti menjuarai Piala Malaysia tahun lalu yang berasaskan semangat sepasukan dan hasil pengalaman dan kemampuan ketika berjaya berdepan ribuan penyokong Kelantan dalam Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Kami perlu kekang barisan serangan Kelantan yang diakui lebih berbisa bagi saya, tugas di bek tengah akan tetap ditunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Aidil Dakwa Rita Rudaini Tak Faham Kaedah Sulh?

30 Oktober 2010


29 OKT 2010: Selagi tak selesai kemelut rumah tangga pelakon dan model Rita Rudainai dengan suaminya, Mohd Aidil Zafuan yang juga pemain bola sepak Negeri Sembilan, nampaknya selagi itulah Murai Batu akan beritahu pembaca murai.com.my mengenai info-info terbaru mengenai mereka ini.

Terbaru, selepas Rita mengeluarkan kenyataan bahawa dia terkejut dan keliru dengan tindakan suaminya yang sudah memfailkan permohonan sulh terhadapnya, Aidil pula telah mengeluarkan kenyataan balas.

Apa yang Murai Batu dengar, si Aidil mendakwa isterinya itu yang sebenarnya keliru dan tidak memahami secara jelas mengenai kaedah sulh (perbincangan) yang dilakukannya di Mahkamah Syariah Seremban beberapa hari yang lalu.

Aidil yang dikatakan belum sempat menghubungi isterinya itu sejak dia memfailkan permohonan tersebut di mahkamah, difahamkan akan berbuat demikian untuk menjelaskan perkara tersebut kepada isterinya.

Namun, apa yang pasti menurut sumber yang Murai Batu dapat, Aidil hanya akan menjelaskan perkara tersebut kepada isterinya selepas dia selesai membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini(esok).

Macam biasalah, Murai Batu sentiasa mengharapkan yang terbaik terhadap hubungan mereka supaya anak pertamanya serta anak keduanya yang bakal lahir itu nanti mendapat kasih sayang secukupnya daripada kedua ibu bapa mereka.

MURAIBATU: Pengarah Mamat Khalid bersama barisan pelakonnya akan berada di panggung Setiawan, Perak pada esok hari sempena promosi dan tayangan filem Estet.

Khamis, 28 Oktober 2010

Aidil-Rita belum reda

29 Oktober 2010



Kita ingatkan kemelut rumah tangga pemain bola sepak Aidil Zafuan Abdul Razak dan pelakon top Rita Rudaini Mokhtar dah reda. Yalah rasa baru saja baca pengakuan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain dalam sisipan Pancaindera di akhbar Mingguan Malaysia.

Sebelum itu memanglah ada juga tuduh menuduh sesama mereka serta kenyataan daripada keluarga Aidil yang dipaparkan dalam akhbar. Rupa-rupanya kisah mereka belum reda walaupun Aidil sibuk membuat persiapan nak lawan pasukan hebat Pantai Timur, Kelantan di final Piala Malaysia Sabtu ini.


Dalam sibuk-sibuk itu Aidil sempat ke mahkamah membuat tuntutan rundingan secara baik untuk mendapat hak penjagaan anak mereka Airit Rayyan. Nasib baiklah tak buat tuntutan nak bercerai. Mintak jauhlah benda-benda tak elok macam tu.

Kita pun tak tahulah apa nak jadi dengan pasangan yang tak sepadan usia ni. Agaknya betullah orang kata, lelaki muda ni lambat matang. Tapi Aidil dah berusia 23 tahun, takkan belum dapat membuat penilaian secara matang.

Kita bukan nak kata Aidil tak matang dalam membuat pertimbangan.
Mungkin juga dia tertekan dengan krisis yang melanda isteri dan keluarganya. Semasa awal perkahwinan dulu keluarga Aidil mengkritik kuat dan tidak menerima kehadiran Rita. Rita dakwa hatinya sakit sehingga payah nak dipulihkan.

Namun Rita janji akan berusaha untuk berbaik dan pulang ke rumah keluarga mertua tanpa paksaan sesiapa. Dia menunggu masa yang sesuai dan apabila hatinya terbuka secara ikhlas untuk melangkah ke sana.

Nampaknya belum lagi Rita sedia mengatur langkah murni, suaminya heret dia ke mahkamah pula. Bila dah ke mahkamah ini pastilah makin parah hubungan mereka dalam masa-masa depan ini.
Aidil failkan permohonan sulh (perbincangan) dan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada hari Selasa.

Permohonan sulh dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan kedua-dua pihak akan

dipanggil untuk berbincang secara baik dan diberi kaunseling untuk menyelesaikan pertikaian dihadapi mereka tanpa perbicaraan di mahkamah.

Kita: Cepat-cepatlah buang yang keruh. Tak lama lagi nak sambut hari raya haji pulak

'Dik Quan' terkilan

29 Oktober 2010

ZAQUAN Adha  terpaksa berehat enam bulan  kerana kecederaan lutut.
ZAQUAN Adha terpaksa berehat enam bulan kerana kecederaan lutut.
Tak dapat beraksi di final gara-gara kecederaan lutut

"MEMANG terkilan kerana tidak dapat beraksi pada final Piala Malaysia namun saya menerima takdir yang menimpa," kata penyerang Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak.

Adik kembar kepada Mohd Aidil Zafuan itu yang terpaksa melupakan seketika saingan bola sepak kerana kecederaan lutut yang memaksanya berehat enam bulan yakin Negeri Sembilan boleh mengekalkan kejuaraan berdasarkan semangat berpasukan tinggi.
Menurutnya yang juga dikenali ‘Dik Quan’ , walaupun Kelantan - lawan yang ditewaskan Negeri Sembilan tahun lalu, memiliki ramai pemain berpengalaman, tetapi pemain Negeri Sembilan yang menggabungkan pemain berpengalaman dan muda sudah membuktikan kemampuan mereka hingga berjaya membawa pasukan mara ke final sekali lagi.

“Saya berharap rakan sepasukan akan berjuang bersungguh-sungguh memastikan gelaran Piala Malaysia kekal berada di Negeri Sembilan. Saya tetap mendoakan kejayaan kepada pasukan,” katanya ketika hadir di majlis makan tengah hari anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, semalam.

Menurut Zaquan, 23, dia kini menetapkan sasaran Mac depan sebagai tarikh kepulangannya ke kancah bola sepak sebaik pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Jaish dalam rangka persiapan skuad bawah 23 kebangsaan, September lalu.

Rita Rudaini Keliru, Terkejut Dengan Tindakan Aidil?

29 Oktober 2010


28 OKT 2010: Lepas je Murai Batu tulis pasal pemain bola sepak terkenal Aidil memfailkan permohonan sulh dan hak penjagaan anak terhadap pelakon, Rita Rudaini, hari ini dikejutkan pula dengan kenyataan Rita yang dikatakan musykil dengan tindakan Aidil tersebut.

Murai Batu difahamkan lagi, Rita yang hanya mengetahui tentang berita suaminya ke mahkamah menerusi media itu benar-benat terkejut kerana sebelum itu suaminya ada menyatakan bahawa dia menyayangi Rita dan anak .

Tambahan lagi menurut sumber memberitahu Rita akui hubungan mereka sudah tidak ada apa-apa masalah lagi dan dsemuanya berada dakan keadaan yang baik terutama sejak kali terakhir mereka bertemu.

Malah, Murai Batu dengar sebelum ini Aidil turut berjanji kepada Rita bahawa dia akan menjaga rumah tangga mereka dan memastikan kandungan Rita yang baru berusia tiga bulan berada dalam keadaan baik.

Kasihan Murai Batu dengan Rita yang sedang berbadan dua sekarang ni. Lebih kasihan lagi apabila Murai Batu dapat tahu Rita semakin keliru dengan tuntutan hak penjagaan anak oleh Aidil itu kerana mereka belum bercerai dan masih sah suami isteri.

Kalau Rita pun keliru, Murai Batu lagi lah pelik dengan tindakan Aidil itu. Apa-apa pun Murai Batu harap hubungan mereka akan terus kekal dan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini. Bukan apa, Murai Batu kesian lah dengan Rita yang kini sedang hamil anak keduanya itu.

Buat masa ini, Murai Batu dengar Rita tinggal sementara waktu di rumah adiknya yang terletak di Taiping, Perak manakala Aidil pula tinggal di rumah keluarganya yang terletak di Sikamat, Seremban.

Rabu, 27 Oktober 2010

Aidil Zafuan Tidak Tuntut Anak, Hanya Tangguh "Sulh"

Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan mahu menjadi pasangan bahagia tetapi sayang sekali rumah tangga mereka sering diuji. Gambar Utusan Malaysia.


28 Oktober 2010

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak,23, menafikan mahu menuntut hak penjagaan anak daripada isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,34, sebaliknya kunjungan dia ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, Selasa, adalah untuk menangguhkan permohonan sulh (perbincangan) yang dibuat sebelum ini.

Aidil berkata, laporan sebuah akhbar tabloid, Rabu mengenai tuntutan itu dipetik daripada sumber yang salah kerana dia tidak mempunyai apa-apa masalah mengenai hak penjagaan anak, Airit Rayyan Rizqin yang sekarang berusia setahun tiga bulan.

“Saya mengaku bersama peguam saya ke Mahkamah Tingi Syariah di Seremban, semalam (Selasa) tetapi untuk menguruskan permohonan penangguhan sulh yang saya buat sebelum ini. Bukan untuk tuntut hak penjagaan anak seperti yang dilaporkan,” katanya, Rabu.

Aidil berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya dia menuntut hak penjagaan anak daripada Rita melalui proses mahkamah selepas segala kemelut yang berlaku menhenai rumah tangga mereka selama ini tidak dapat diselesaikan.


Sulh adalah proses perbincangan di antara dua pihak yang ingin mencari perdamaian melalui proses mahkamah.

Kata Aidil, penangguhan itu dibuat kerana masalah rumah tangga mereka semakin baik berbanding ketika permohonan dibuat semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas saya ada buat permohonan ini (sulh) kerana tiada jalan lain untuk saya mendapat nasihat tetapi sekarang hubungan saya dengan Rita semakin baik.

“Disebabkan itulah saya perlu membuat penangguhan tersebut melalui peguam saya agar tidak menyusahkan pihak mahkamah nanti,” katanya.

Aidil yang sedang berlatih untuk mewakili Negeri Sembilan bagi menentang Kelantan dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini mengakui sayangkan Rita apatah lagi selepas memikirkan isterinya itu mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Ditanya kenapa dia tidak membatalkan penangguhan sulh itu, katanya jika ditakdirkan timbul masalah dalam rumah tangga mereka kelak, dia tidak perlu membuat permohonan tersebut semula.
Sementara itu Rita Rudaini pula berkata dia tidak membantah tindakan Aidil itu jika langkah tersebut dapat menyelesaikan masalah mengenai rumah tangga mereka.

Katanya selama ini jika mempunyai masalah sekalipun dia tidak pernah keluar dari rumah sebaliknya mendapatkan kebenaran suami terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu tindakan.

“Saya sayangkan Aidil sepenuh hati dan tiada sedikit pun perasaan benci terhadapnya. Jika tindakan Aidil itu baik, saya turutkan kehendak dia,” ujarnya.

Tambah Rita, dugaan yang berlaku dalam rumah tangganya membuatkan dia semakin tabah apatah lagi selepas mengetahui dirinya kini berbadan dua.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Aidil nadi benteng N.9

28 Oktober 2010

PENGALAMAN Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di pentas antarabangsa mahupun pada saingan domestik ditagih Negeri Sembilan untuk mengekang asakan penyerang Kelantan ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada final Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Aidil, 23, diakui antara pemain pertahanan kebangsaan mantap berjaya dilahirkan Negeri Sembilan dan pada final itu, keupayaan mengawal benteng bakal menjadi antara faktor penentu misi skuad Hoben Jang Hoben mempertahankan kejuaraan.

Aidil, abang kembar Mohd Zaquan Adha, bertekad memastikan benteng pasukan kebal daripada ditembusi penyerang lawan yang dijangka melakukan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan untuk menebus kekecewaan tewas 1-3, pada final tahun lalu.

Dia yang bergandingan dengan Tengku Qayyum Ubaidillah, bersedia menggalas tugas sebaik mungkin seperti mana kepercayaan diberikan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan berazam beraksi cemerlang bagi memastikan reputasi dan maruah pasukan dipertahankan.

“Saya akui tugas ini lebih mencabar berbanding tahun lalu berikutan barisan penyerang Kelantan kali ini lebih berwibawa membabitkan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Norshahrul Talaha.

“Namun saya bersedia melakukan tugas dengan baik dan tidak berdepan masalah bergandingan dengan Tengku Qayyum untuk pertahankan benteng kerana kami bukan kali pertama bertemu Kelantan dan berdepan barisan penyerang mereka.

“Kami termasuk penjaga gol Sani Anuar Kamsani akan pastikan mereka berdepan laluan sukar untuk melepasi benteng dan seterusnya menjaringkan gol,” katanya semalam.

Aidil berkata, walaupun ramai memilih Kelantan sebagai pasukan pilihan, dia berasa kecil hati kerana mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad bimbingan B Sathianathan itu selepas bertemu sebanyak empat kali sepanjang saingan Liga M musim ini dengan rekod pertemuan memihak kepada Negeri Sembilan.

Justeru, dia yakin pemain Negeri Sembilan mampu membendung impian besar Kelantan yang berazam merampas trofi Piala Malaysia kali ini.

Dia yang turun buat kali ketiga pada pentas final berjanji memberikan tumpuan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan pengurusan dan peminat untuk melakar sejarah gemilang merangkul trofi kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Saya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman untuk membantu pasukan mencapai kemenangan dan berharap misi kami direalisasikan Sabtu ini,” katanya.

Zaquan Tiada Niat Mahu Perli Aidil-Rita!

28 Oktober 2010


KUALA LUMPUR, 27 OKT 2010: Sebaik saja pemain bola sepak negara, Mohd Zaquan Adha atau Zaquan, 23, bersama tunangnya, Ayu Raudah memberikan penjelasan tentang hubungan mereka baru-baru ini, ada suara sinis yang mendakwa Zaquan dan Ayu cuba menunjuk-nunjuk kepada umum bahawa mereka ini adalah pasangan yang baik.

Lebih mengecewakan lagi, bila ada segelintir pihak berpendapat kenyataan yang dibuat Zaquan seperti diibaratkan cuba untuk memperli saudara kembarnya iaitu Aidil Zafuan dan isterinya, Rita Rudaini.

Isu ini berbangkit bersandarkan komen Zaquan kepada pihak media yang membabitkan hal hubungan yang direstui keluarga.

Bagaimanapun, sewaktu kantoi ditemui pihak media pada majlis hari lahir pelakon Fizz Fairuz Sdi Karaoke Red Box, The Garden, Mid Valley pada Sabtu lalu, Zaquan terlebih dulu mahu pihak tertentu memahami maksud sebenar penjelasannya itu.

"Terus-terang saya katakan, apa yang saya jelaskan selama ini, tidak sekali pun membawa maksud apa-apa. Jauh sekali untuk perli pihak Aidil atau pun Rita. Malah, tidak terlintas pun di fikiran saya untuk berbuat sedemikian.

"Sebaliknya, saya menyatakannya atas dasar hubungan saya dengan Ayu Raudah. Seperti yang kita semua tahu, kalau kita mahu menjalinkan hubungan yang menuju ke arah perkahwinan, ia mestilah mendapat restu daripada ibu dan bapa dan saya gembira kerana hubungan saya dengan Ayu Raudah telah di terima dengan baik oleh kedua-dua pihak keluarga.

"Itu yang cuba maksudkan. Saya harap semua orang faham dengan penjelasan saya ini. Dan, saya harap pihak saudara kembar saya tidak terasa dengan apa yang saya katakan dan tidak menganggap bahawa saya cuba memperli dia dan Rita.

"Malah, saya harap pihak media juga dapat menjelaskan perkara ini dengan betul kerana sebarang kenyataan yang tidak disampaikan dengan betul, ia boleh mengundang bahana atau salah faham yang tidak elok.

"Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sekali lagi, kalau boleh apabila saya bercakap pasal hal restu, saya tidak mahu sesiapa saja mengaitkan ia dengan Aidil mahu pun Rita," kata Zaquan.

Dalam pada itu, Zaquan mengakui selepas dirinya memberanikan diri untuk memperkatakan tentang soal menempuh alam perkahwinan, pemain bola sepak ini sering saja dilanda dugaan yang besar.

"Nak kahwin ni, banyak dugaannya. Ramai juga jadi takut bila sebut pasal kahwin. Namun, saya percaya pada jodoh. Tentang sesi fotografi bersama Ayu pula, saya rasa lebih baik sekiranya ia diadakan selepas saya dan Ayu betul-betul mempunyai ikatan yang sah.

"Kami bukannya apa. Kami buat begini kerana kami tidak mahu mengundang pelbagai spekulasi lagi. Pun begitu, saya tidak dapat mengelak sekiranya ia berlaku secara kebetulan. Contohnya, macam hari ini (majlis hari lahir Fizz)," jelas Zaquan

Aidil tuntut jaga anak

27 Oktober 2010

KENANGAN...Mohd Aidil bersama Rita Rudaini ketika saat bahagia mereka.
KENANGAN...Mohd Aidil bersama Rita Rudaini ketika saat bahagia mereka.
SEREMBAN: Selepas beberapa laporan berhubung keretakan rumah tangga mereka dipaparkan media, pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, memfailkan permohonan sulh (perbincangan) dan hak penjagaan anak terhadap isterinya yang juga pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Sumber rapat dengan Mohd Aidil Zafuan berkata, pemain itu yang mesra dengan panggilan Aidil ke mahkamah dengan ditemani seorang peguam syarie pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Apa yang dilakukannya ini adalah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya yang berlarutan sehingga menjadi perhatian orang ramai.

“Melalui kaedah sulh itu, kedua-dua pihak akan dipanggil untuk berbincang secara baik selain diberi kaunseling untuk menyelesaikan pertikaian dihadapi mereka tanpa melalui proses perbicaraan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permohonan hak jagaan anak dan perceraian, sumber itu berkata, pasangan berkenaan belum bercerai.

Sementara itu Aidil yang ditemui di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi ketika menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan bagi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan Sabtu ini, mengesahkan dia pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah bersama seorang peguam.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai tindakannya itu.

“Ia berhubung urusan keluarga dan saya tidak mahu mendedahkannya kerana mahu menjaga kepentingan banyak pihak,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan dengan isterinya masih berjalan dan banyak lagi yang perlu diteliti mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

Bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 61, ketika ditanya mengenai tindakan anaknya mendakwa dia tidak tahu apa-apa.

“Aidil memang tinggal di sini (rumah keluarga di Sikamat, Seremban) kerana menjalani latihan pusat di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi.

“Namun, saya tidak tahu apa-apa mengenai tindakan itu kerana dia hanya memberitahu hendak ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menguruskan penukaran nombor pendaftaran kereta, pagi tadi (semalam),” katanya.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kenyataan Rita yang mendakwa rumah tangganya bersama Aidil yang dibina atas dasar cinta, mulai goyah disebabkan campur tangan keluarga mentuanya.

Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 kerana dikatakan tidak mendapat restu keluarga suaminya.

Hasil perkahwinan lebih dua tahun itu, Aidil dan Rita dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan.

Aidil Tuntut Penjagaan Anak Walaupun Belum Bercerai?

27 Oktober 2010



27 OKT 2010: Apalah nasib yang melanda pelakon dan model cantik, Rita Rudaini. Sejak dia mendirikan rumah tangga secara rahsia bersama pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan di Songkhla, Thailand pada 2008, sampai sekarang Murai Batu dengar dia tak habis-habis dilanda masalah. Kasihan pula Murai Batu mengenangkan nasibnya itu.

Terbaru, Murai Batu dapat tahu suaminya, Aidil atau nama sebenar Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak telah memfailkan permohonan sulh dan hak penjagaan hak anak terhadap Rita.

Apa yang Murai Batu difahamkan sulh itu proses perbincangan secara baik bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian antara suami isteri yang dilakukan di Mahkamah Syariah.

Baguslah begitu, setidak-tidaknya sebarang keputusan tidaklah diambil secara melulu kerana melalui sulh juga Murai Batu dapat tahu mereka akan dipanggil untuk berbincang secara baik selain diberi kaunseling tanpa melalui proses perbicaraan.

Tapi apa yang membuatkan Murai Batu musykil, kenapa Aidil buat tuntutan hak penjagaan anak padahal mereka pun masih belum bercerai? Adakah mereka sudah tidak tinggal bersama lagi dan duduk secara berasingan?

Buat masa ini, Murai Batu dengar Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan itu kini tinggal bersama keluarganya di Sikamat, Seremban. Apa yang Murai Batu difahamkan dia kini tinggal bersama keluarganya itu bagi menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman bagi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan pada Sabtu ini.

Tapi, selepas itu apa yang akan terjadi? Apapun, hasil perkahwinan selama dua tahun, Aidil dan Rita telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan.

MURAIBATU: Akan sentiasa mendoakan agar rumahtangga Rita Rudaini bersama Aidil Zafuan dapat diselamatkan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...